Search This Blog

Monday, February 3, 2014

LLRC benam MS ABDB


Oleh Mohammad Abdullah

KUALA BELAIT, 2 Feb – Jaringan minit ke-73 Safuan Juhar memberikan kemenangan 3-2 LLRC ke atas MS ABDB dalam Kejohanan Liga Super DST-NFABD 2014 yang berlangsung di Padang BSRC, Seria hari ini.

Dalam perlawanan tersebut LLRC menampilkan permainan agresif sehingga membuka jaringan pertama melalui Md Hakeem Keri pada minit ke-12.

Walau bagaimanapun permainan mereka tidak konsisten sehingga memberikan peluang untuk MS ABDB menampilkan permainan rapi. MS ABDB mendominasi perlawanan dengan hantaran tepat dan taktik yang teratur sehingga berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohd Khairul Mee Mail pada minit ke-41.


Safuan Juhar wira LLRC apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya menewaskan MS ABDB 3-2 dalam perlawanan Liga Super DST-NFABD 2014 di Padang BSRC, Seria.

Pada separuh masa kedua, MS ABDB terus menguasai permainan dan berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-56 menerusi Budiman Jumat. Walau bagaimanapun mereka gagal untuk menambah jaringan dengan kubu pertahanan LLRC sukar untuk ditembusi.

Sementara itu, pertahanan MS ABDB agak goyah dengan serangan bertalu-talu pemain LLRC sehingga menyebabkan penjaga gawang MS ABDB melakukan kesilapan menjatuhkan pemain LLRC di kotak penalti. Peluang untuk menyamakan kedudukan tidak disia-siakan oleh Awangku Nazrul Ariffin apabila berjaya menyempurnakan sepakan pada minit ke-67.

Dengan kedudukan terikat 2-2, LLRC tidak berputus asa meningkatkan serangan mereka untuk meraih gol kemenangan sehingga usaha mereka membuahkan hasil menerusi serangan kilat yang mengucar-ngacirkan pertahanan MS ABDB dan memberikan peluang untuk Safuan Juhar menjaringkan gol buat LLRC pada minit ke-73.

Dalam perlawanan tersebut, LLRC tidak mensia-siakan perlawanan di gelanggang sendiri walaupun perlawanan didominasi oleh MS ABDB, yang gagal menyempurnakan beberapa peluang.

No comments:

Post a Comment