BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – MS ABDB memastikan ia layak sebagai Juara Kumpulan A acara bola sepak Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) II dengan menang 2-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menewaskan Daerah Tutong malam tadi.
Walau bagaimanapun MS ABDB dikerah bekerja keras oleh Daerah Tutong yang memberikan tentangan sengit sehingga menyebabkan MS ABDB gagal meraih sebarang gol pada separuh masa pertama.
Dalam perlawanan di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berkenaan, MS ABDB hanya mendapatkan golnya pada separuh masa kedua pada minit ke-61 yang dijaringkan oleh Mohammad Baharin Hamidon.
Jaringan itu sebenarnya sudah cukup untuk MS ABDB memintas Daerah Brunei dan Muara bagi menawan puncak Kumpulan A, namun ketika pengadil bersiap sedia untuk meniupkan wisel penamat perlawanan, pemain gantian, Mohammad Fadhli Haji Awang Salleh mengesahkan tiga mata menjadi milik MS ABDB dengan jaringannya pada minit ke-90+3.
LKPL Mohammad Baharin (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain Daerah Tutong dalam aksi Kumpulan A malam tadi.
Mohammad Baharin (kanan) dari MS ABDB melakukan percubaan ke gawang Daerah Tutong dalam aksi Kumpulan A malam tadi.
Aksi Kapten Daerah Tutong, Reniel (10) ketika aksi terakhir Kumpulan A menentang MS ABDB di Balapan & Padang KSNHB.
Kemenangan itu turut memastikan MS ABDB tidak akan bertemu dengan lawannya di final Bola Sepak SKBD Pertama, 2012, MS PDB, yang turut menang malam tadi, 1-0 ke atas RB FC, untuk mengungguli Kumpulan B.
Sebaliknya MS ABDB akan melayani Naib Juara Kumpulan B, Daerah Belait esok malam (Rabu, 3 Disember) di Kompleks Sukan Berakas, sementara MS PDB akan menentang Naib Juara Kumpulan A, Daerah Brunei & Muara, juga esok malam (Rabu, 3 Disember) di Balapan & Padang KSNHB bagi menentukan siapa layak merebut pingat emas di perlawanan akhir pada Selasa, 5 Disember nanti.
No comments:
Post a Comment