Search This Blog

Saturday, March 31, 2018

MS PDB mahu cipta sejarah


Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Selepas penguasaan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dalam dua musim yang lalu, Piala Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam DST 2018 akan mencatat sejarah baharu apabila perlawanan akhir yang akan diadakan pada 1 April nanti akan menyaksikan Pasukan Indera SC menentang Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) di Kompleks Sukan Berakas.
Sehubungan dengan itu, Media Permata berpeluang untuk bertemu dengan wakil dari kedua-dua pasukan sebelum perlawanan akhir minggu depan.
Ketua Jurulatih MS PDB, Philip Pasan menegaskan kejayaan kali ni sememangnya suatu sejarah peribadinya dan buat seluruh pemain serta warga pentadbiran MS PDB dan ia menjadi pemangkin semangat dan akan cuba meneruskan sejarah ini dengan berusaha sekuat habis untuk menjuarai kejohanan Piala FA tahun ini.
“Namun apa yang penting dan perkara pertama adalah untuk menjinakkan lawan kami Indera SC di perlawanan akhir nanti,” ujarnya sebelum menegaskan bahawa perancangan pasukan adalah untuk memperkuatkan lagi fizikal dan taktikal pasukan serta kerana katanya Indera SC merupakan pasukan yang sukar dikalahkan dan perlawanan akhir ini adalah peluang menebus kekalahan di peringkat liga sebelum ini.
“Indera SC dibarisi dengan pemain yang lengkap di setiap posisi dan ia adalah faktor yang perlu diambil kira. Saya percaya dengan semangat yang ada pada pemain sekarang, kami juga tidak akan memberikan laluan mudah kepada pihak lawan dan kami juga mempunyai kekuatan sendiri untuk memastikan pasukan lawan sangat sukar menewaskan kami,” ujarnya lagi



Antara aksi separuh akhir Piala FA ketika MS PDB menentang juara bertahan, MS ABDB. – Gambar oleh Hasrulraizan

Sementara itu Timbalan Presiden merangkap Pengurus Pasukan Indera SC, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz menyatakan rasa terujanya dengan perlawanan akhir dan ini adalah kali pertama Indera SC bertemu MS PDB di peringkat akhir Piala FA dan katanya, “Ini merupakan satu sejarah bagi kedua-dua pasukan yang mahu melakar sejarah untuk bergelar juara Piala FA buat pertama kalinya.”
Menurut Awang Rosdin meskipun Indera SC pernah bertemu MS ABDB pada separuh akhir dan akhir sebelum ini namun kejayaan MS PDB berjaya mengalahkan MS ABDB pada separuh akhir baru-baru ini menunjukkan bahawa pasukan MS PDB tidak dapat dipandang ringan dan ia ditambah dengan barisan pemain muda yang masih segar dan baru yang sememangnya bertenaga.
Beliau menyeru para pemain untuk meneruskan perjuangan hingga ke akhirnya dan membawa pulang Piala FA buat pertama kali untuk penyokong-penyokong setia yang selama ini menanti menjulang Piala FA.

No comments:

Post a Comment