Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Indera SC berpesta gol


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Indera SC menang lagi malam tadi dengan membelasah Wijaya FC 5-0 bagi mengumpul tiga mata lagi di perlawanan keenam bertuahnya dalam kancah Liga Super DST-NFABD 2014 apabila mula mendaki ke puncak sekaligus menjatuhkan Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) ke tangga kedua.

Indera SC sendiri tidak menjangkakan tuahnya pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) itu apabila sudah mendahului 1-0 seawal minit pertama menerusi jaringan Md Zulkhairy Razali.
Gol kedua Indera SC tidak hadir segera tetapi 27 minit kemudian hasil jaringan Reduan Haji Petara, dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/P22-2_20140407.jpg

Md Khayrun Salleh dari Indera SC (kanan) ketika beraksi dalam kemenangan 5-0 ke atas Wijaya FC malam semalam.

Perlawanan ketandusan gol buat waktu yang lama di separuh masa kedua iaitu hanya selepas 23 minit ia bermula barulah Indera SC berjaya menambah golnya lagi, kali ini menerusi jaringan Abdul Khair Haji Basri.
Sembilan minit kemudian kedudukan Indera SC bertambah selesa dengan pendahuluan 4-0, dengan jaringan keempat Indera SC itu dihasilkan pula oleh Md Nur Ikwan Othman.

Md Khairul Anwar Abdul Rahim melengkapkan gol kelima Indera SC tiga minit sebelum perlawanan ditamatkan bagi rekod seorang pemain satu gol dalam perlawanan berkenaan, yang menjadi bukti bahawa bukan penyerangnya saja boleh menjaringkan gol tetapi hampir kesemua pemainnya termasuk pemain pertahanan.

Setelah mengutip tambahan tiga mata berkenaan, Indera SC kini mengumpul 16 mata di persada Liga Super DST-NFABD 2014, satu mata di depan MS PDB di tempat kedua dengan kelebihan berbaki satu perlawanan berbanding MS PDB, dan tiga mata di depan Najip FC di tempat ketiga.

Thursday, April 3, 2014

Najip FC gagal guna kelebihan


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 April – Najip FC gagal memanfaatkan kelebihan dua pemain apabila sekadar seri 2-2 ketika hanya berdepan sembilan pemain Jerudong FC untuk tempoh 25 minit terakhir di Kompleks Sukan Berakas malam tadi. Bahkan Najip FC bernasib baik mencatat keputusan seri selepas ketinggalan 0-2 pada minit ke-56, selepas pemain Jersi 12 Jerudong FC dilayangkan kad kuning kedua dan diarah keluar padang.

Gol Md Bazli Md Said, yang memanfaatkan sepenuhnya lorongan ke depan di antara dua pertahanan Najip FC untuk berlari pantas mengejar dan mengawal bola, meninggalkan Md Hanafizal Helman Hanafiah dan Aleix Asmawi pergi mengejarnya.

Md Bazli kemudiannya menangani cabaran bahu pemain Najip FC Md Azri Zahari dan menendang leret bola ke sudut kanan bawah gawang Najip FC sebelum masuk ke dalam kotak Najip FC, yang melepasi jangkauan penjaga gol Najip FC, Abdul Hafiz Abdul Rahim. Ia memberikan kelegaan buat Jerudong FC selepas mendahului 1-0 hasil dari sepakan percuma Md Faizol Ambotang pada minit ke-23.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/P23_3_20140403.jpg

Pengadil dan penolongnya cuba mengawal keadaan apabila pihak pengurusan Jerudong FC masuk ke dalam padang selepas jaringan kedua Najip FC pada minit ke-66.

Najip FC mula mengawal bahagian tengah menggunakan kedua-dua sayapnya untuk menerobos kawasan Jerudong, sehingga dihadiahkan sepakan percuma di sayap kanannya, dengan Abang Norsillmy Abang Haji Md Taha berjaya menanduk bola masuk ke gawang Jerudong bagi merapatkan kedudukan kepada 1-2.

Pada minit ke-66, ketua Najip FC Md Karimmurrizal Kasmi menanduk bola masuk dari hantaran silang rakannya di sayap kanan untuk menyamakan kedudukan 2-2, namun gol itu mencetuskan kontroversi menyebabkan pihak pengurusan dan pemain Jerudong hilang sabar ke atas pengadil.

Sebelum gol kedua Najip, penyerang Jerudong jatuh di dalam kotak Najip FC selepas bersaing mendapatkan bola dengan penjaga gol Najip FC Abdul Hafiz, yang setelah mendapatkan bola menendangnya ke atas, sekali gus membuka peluang kepada Najip FC membuat serangan balas pantas sehingga menghasilkan gol, tetapi penyerang Jerudong terbabit masih terbaring kesakitan.

Keputusan pengadil tidak memberikan sepakan penalti menyebabkan keadaan kecoh dengan ketua pasukan Jerudong FC Hanafizul Helmi Hanafiah menolak pengadil sehingga dilayangkan kad merah.

Permainan disambung semula dengan Jerudong FC terpaksa bermain dengan sembilan pemain, namun semangat enggan mengaku kalah terserlah apabila gagal dibolosi sehingga selesai dengan perkongsian satu mata. Keputusan itu sudah cukup melonjakkan Najip FC ke tangga kedua liga dengan 13 mata berbanding Indera SC yang juga mengumpul 13 mata selepas menang 2-0 ke atas MS PDB malam tadi.

Indera SC tundukkan MS PDB


BANDAR SERI BEGAWAN, 2 April – Indera SC kekal dalam laluan mempertahankan kejuaraan Liga Super DST-NFABD apabila menundukkan pesaingnya Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) dengan jaringan 2-0 malam tadi.

Dengan satu gol setiap separuh masa sudah cukup untuk Indera SC terus mengekalkan kecemerlangan musim ini walaupun hanya seri 1-1 dengan QAF FC pada 9 Februari lalu.

Perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan bersaing mengawal bahagian tengah padang sambil sekali sekala melakukan serangan pantas.
 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/P24-1_20140403.jpg

Abdul Mu’is dari Indera SC mengawal bola dalam satu aksi Liga Super. Beliau berjaya meletakkan pasukannya di depan dengan jaringan pada minit ke-13.

Berdasarkan corak serangan kedua-dua pasukan, jaringan adalah sesuatu yang pasti dan hanya menanti saat untuk berlaku, yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-13, apabila Indera SC membuka jaringan menerusi Abdul Mu’is Sisa yang bermain di sayap kiri.

MS PDB menggandakan usaha bagi mendapatkan penyamaan tetapi Indera SC juga masih menambah serangan bagi mendapatkan gol, namun keputusan separuh masa pertama kekal 1-0.

Pada babak kedua, kedua-dua pasukan meneruskan persaingan sehingga pertahanan MS PDB melakukan kesilapan menyebabkan Indera SC dihadiahkan sepakan penalti ketika separuh masa kedua baru berlangsung tiga minit.

Md Zulkhairy Razali mengambil sepakan dan menyempurnakannya dengan baik sekali bagi memberikan Indera SC ruang bernafas mendahului dua gol dengan jaringan 2-0.

Jaringan itu menjadi gol terakhir perlawanan bagi memberikan Indera SC tiga mata penuh untuk meneruskan perjuangannya mencapai kejuaraan, namun keputusan itu belum cukup untuknya menjatuhkan MS PDB dari takhta liga kerana MS PDB yang sudah bermain tujuh perlawanan dan menang lima berjaya mengumpul 15 mata.

Namun ia cukup untuknya menduduki tangga ketiga, di belakang Najip FC yang seri 2-2 dengan Jerudong FC malam tadi di Kompleks Sukan Berakas, sekali gus memintas MS ABDB yang mengumpul 12 mata selepas enam perlawanan menyebabkan MS ABDB merosot dari tangga keempat ke tangga kedua. –

Hasrulraizan

Wednesday, April 2, 2014

LLRC, Majra berkongsi mata


Oleh Hasrulraizan

TUTONG, 1 April – LLRC FT terlepas peluang untuk memintas QAF FC di tangga keenam apabila sekadar seri 2-2 dengan Majra United di Kompleks Sukan Tutong malam tadi.
Ketua pasukan Awangku Md Haikal Pengiran Zaidi, sebagai jentera tengah LLRC, selepas tidak bermain akibat kecederaan ketika tewas 0-3 kepada Indera SC 17 Mac lalu, jelas bermain lebih baik. Beliau tidak menunggu lama untuk membuktikan dia sudah pulih sepenuhnya apabila membawa LLRC ke depan menerusi jaringan menarik pada minit ke-27.

Namun pemenang tempat ketiga Liga Super musim lalu, Majra United, tidak berdiam diri malah terus mengasak kubu LLRC sehingga berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33 menerusi Faizal Mohammad.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/PAGE24_0204023245578.jpg

Ak Md Haikal kembali beraksi dan menjaringkan gol pertama LLRC ketika seri 2-2 dengan Majra United di Kompleks Sukan Tutong, semalam.

Pada minit ke-72, LLRC kembali di depan hasil jaringan Md Hakeem Keri, dan jaringan itu sudah cukup untuk mengembalikan LLRC ke laluan kemenangan selepas seri sekali dan kalah sekali.

Walau bagaimanapun, lapan minit sebelum berakhir, Majra United bangkit sekali lagi dengan gol penyamaan bagi mengikat kedudukan kepada 2-2, menerusi jaringan Md Abdul Azim Said, dan walaupun kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol kemenangan, kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat. Dengan ini, LLRC kekal di tangga keenam dengan 8 mata selepas 5 permainan, menjaringkan 9 gol dan bolos 10, manakala Majra juga kekal di tangga kelapan dengan 4 mata daripada 6 permainan, menjaringkan 8 gol dan bolos 14.

LLRC FT akan menentang pasukan tangga kesembilan Kilanas FC pada 5 April ini di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

LEADING GOAL SCORER DST SUPER LEAGUE 2014


KEDUDUKAN TERKINI LIGA SUPER DST 2014


KEPUTUSAN LIGA SUPER DST 2014