Search This Blog

Thursday, December 22, 2016

Debaran final Piala FA


Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Dis – Kedua-dua pengurus, jurulatih dan ketua pasukan finalis Piala FA DST Brunei 2016 bersemuka di Persidangan Media yang berlangsung di NFABD House di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di sini.
Kedua-dua buah pasukan iaitu Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) dan Pasukan Najip I-Team akan bertarung di perlawanan akhir pada hari Jumaat, 23 Disember ini nanti di Kompleks Sukan, Berakas bermula pada jam 9 malam.
Sehubungan dengan itu hari ini Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) mengadakan persidangan media yang antaranya bagi meninjau perkembangan dan persiapan kedua-dua buah pasukan yang berjaya melangkah ke peringkat akhir kejohanan bola sepak unggul di negara ini.
Menurut pengurus Pasukan MS ABDB, Major (U) Razanol Hardi bin Abdul Razak menegaskan persiapan dibuat secara rapi kerana menurutnya kedua-dua buah pasukan mempunyai peluang yang sama untuk menjulang piala kali ini dan menegaskan bahawa Pasukan Najip I-Team tidak akan memberikan jalan mudah untuk mereka menjulang piala buat kali ke empat berturut-turut.
Perkara itu turut dipersetujui oleh Pengurus Pasukan Najip I-Team, Haji Abdul Rahmah bin Haji Ali yang menegaskan perlawanan akhir kali ini adalah tugas besar pasukannya dan menyatakan harapan mewakili seluruh warga pasukannya untuk mencipta sejarah dalam perlawanan akhir itu nanti.

Perwakilan kedua-dua finalis bersama piala FA yang bakal menjadi rebutan pada hari Jumaat ini.
Sementara itu, Ketua Pasukan Najip I-Team, Awang Mohamad Hanafizal Helman bin Hanafiah menegaskan mereka terpaksa lebih berhati-hati dalam perlawanan peringkat akhir mengenai kad kuning dan kecederaan pemain, meskipun tiada kecederaan yang berat dialami namun katanya adalah lebih baik untuk berjaga-jaga.
Ketua Jurulatih MS ABDB, Bintara (L) Haji Mesli bin Haji Dullah pula menegaskan “Setakat ini sepertinya semua pemain berada pada tahap yang sangat baik dan kami akan terus membuat persiapan rapi sebelum bertemu Najip I-Team sedikit masa lagi,” sebelum menekankan antara aspek utama yang diberikan perhatian adalah strategi dan percaturan permainan.
Sebelum mengakhiri persidangan media itu hari ini, kedua-dua pengurus pasukan mengharapkan supaya perlawanan akan berjalan lancar, serta NFABD mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk menyaksikan perlawanan akhir yang dijangka hangat dan menarik itu nanti.

No comments:

Post a Comment