Search This Blog

Tuesday, March 27, 2018

MS PDB mara ke peringkat akhir


Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mac – Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) mencatat sejarahnya tersendiri apabila buat kali pertama menjejaki langkah ke peringkat akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam DST 2017 setelah menumpaskan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei semalam (MS ABDB).
Dalam perlawanan yang diadakan di Kompleks Sukan Berakas itu, Abdul Azim bin Abdul Rashid muncul wira Pasukan MS PDB apabila jaringannya pada minit ke-77 menyamakan kedudukan Pasukan MS ABDB, sekali gus mengheret pasukan tersebut kepada masa tambahan penalti dan berakhir dengan kemenangan di pihak Pasukan MS PDB.
Meskipun memperoleh jaringan awal melalui sepakan Awangku Mohd Safri bin Pengiran Haji Othman pada minit ke-58, namun asakan serangan Pasukan MS PDB akhirnya beroleh hasil untuk menyamakan kedudukan.
Pada perlawanan masa tambahan pula, percubaan pemain MS PDB pula berjaya ditepis oleh penjaga gawang MS ABDB dan ketika itu perlawanan seakan-akan berpihak kepada MS ABDB, namun barisan pemain MS PDB menarik nafas lega apabila cubaan pemain MS ABDB melambung tinggi.
Penjaga gawang MS PDB muncul wira apabila beliau berjaya menepis sepakan penalti terakhir MS ABDB, sekali gus memberi ruang kepada Pasukan MS PDB menang dengan jaringan 6-5 dan melangkah ke peringkat akhir Piala FA Brunei DST 2017 menentang Pasukan Indera SC tidak lama lagi.

Pegawai dan pemain MS PDB meluru kepada Abdul Hafiz bagi meraikan kejayaan melangkah ke peringkat akhir Piala FA DST 2017. – Gambar oleh Hasrulraizan

Menurut Ketua Jurulatih MS PDB, Philip Pasan sejurus selepas perlawanan itu semalam menjelaskan fokus utama kini tertumpu kepada perlawanan menentang Pasukan Indera SC semasa perlawanan nanti.
“Perancangan pasukan adalah untuk memperkuatkan lagi fizikal dan taktikal pasukan serta pemain seperti persiapan menentang Pasukan MS ABDB,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai Pasukan Indera SC pula, beliau mengakui pasukan tersebut merupakan pasukan yang hebat dan sememangnya memiliki banyak pengalaman dalam kancah perlawanan akhir Piala FA di negara ini.
“Pasukan Indera SC adalah pasukan yang sukar untuk kami tewaskan dan kami akan mengambil peluang ini untuk menebus kekalahan dua kali semasa peringkat liga,” ujarnya lagi kepada Media Permata.
Beliau dalam pada itu juga percaya dengan semangat yang dimiliki oleh para pasukannya, mereka akan mempamerkan aksi yang terbaik pada perlawanan tersebut dan tidak akan memberikan laluan yang mudah kepada pihak lawan.

No comments:

Post a Comment