Search This Blog
Thursday, November 23, 2017
Tuesday, November 21, 2017
Wijaya bawa pulang 3 mata
Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Wijaya FC membawa pulang tiga mata penuh setelah menewaskan Menglait FC 3-1 dalam aksi Liga Super Brunei DST 2017, di Kompleks Sukan Berakas hujung minggu lalu.
Wijaya FC bermula garang di separuh masa pertama dengan berada di depan menerusi jaringan Badrul Anak Bujang pada minit ke-26 dan kedudukan menjadi 2-0 apabila Marhazif bin Ahad menemui sasaran.
Pada babak kedua, Menglait FC cuba bangkit merapatkan jaringan dan akhirnya berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-54 menerusi Mohd Nazirul Azim Haji Annuar, namun gol itu hanya sebagai sagu hati apabila Mohd Nasy’rul Wafiy Haji Hassan melengkapkan kemenangan Wijaya FC dalam perlawanan itu.
Sementara itu dalam satu perlawanan kelmarin, di Kompleks Sukan Batu Api, Lun Bawang gagal memanfaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila terpaksa akur berkongsi satu mata dengan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB).
Lun Bawang menyaksikan gawang mereka dibolosi sebanyak dua kali di babak pertama, namun sempat menjaringkan satu gol sebelum rehat bagi menghidupkan harapan mereka untuk terus dalam persaingan.
Ketika perlawanan berbaki sembilan minit, Lun Bawang berjaya menembusi gawang MS PDB bagi mendapatkan gol penyamaan untuk menjadikan kedudukan 2-2, yang kekal hingga wisel penamat.
Di Kompleks Sukan Berakas kelmarin, Tabuan Muda A menang tipis ke atas pasukan Jerudong FC dengan jaringan 2-1.
Monday, November 20, 2017
MS ABDB pintas Kota Ranger
Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Harapan Kota Ranger FC untuk terus bertakhta di puncak Liga Super Brunei DST 2017 lebur apabila terpaksa menerima hakikat berkongsi satu mata dengan Indera SC dan ekoran kemenangan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) ke atas Pasukan Kasuka FC baru-baru ini.
MS ABDB kembali ke tangga teratas liga super apabila menunjukkan permainan yang hebat membenam Pasukan Kasuka dengan jaringan 5-0 di Kompleks Sukan Berakas di sini.
Abdul Azizi Ali Rahman menjadi wira MS ABDB setelah menjaringkan empat gol, sementara satu gol lagi disumbangkan oleh Mohd Fadhli bin Haji Awang Salleh.
Sementara itu di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kesilapan Pertahanan Indera SC pada minit ke-11 menghadiahkan sepakan percuma di luar petak yang membolehkan Mohd Faiz Farhan Kamat meletakkan Kota Ranger di depan dengan penyudah cantik.
Selang lima minit kemudian, Mohd Abu Bakar Mahari menghukum kelekaan pertahanan Indera SC apabila memanfaatkan bola yang melantun selepas ditepis oleh penjaga gol untuk gol kedua pasukannya.
Namun begitu baru sahaja separuh masa kedua disambung, kali ini pertahanan Kota Ranger pula leka, menyaksikan Mohd Asri Haji Aspar memanfaatkan hantaran ke dalam petak bahaya untuk jaringan pertama Indera SC.
Indera SC dihadiahkan sepakan penalti selepas Hardi Bujang mengasari penyerang Indera di dalam petak, dan tanggungjawab penalti itu dipikul oleh Mohd Asri untuk menjadikan kedudukan 2-2, yang kekal hingga wisel penamat.
Subscribe to:
Posts (Atom)






