Search This Blog

Sunday, November 11, 2012

ABDB ke separuh akhir


Oleh H J Rahim

Penyerang Majra dikawal ketat oleh tiga pemain ABDB.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov - MS ABDB mengesahkan langkah ke separuh akhir Piala FA Kebangsaan apabila pasukan bola sepak itu berjaya menumpaskan Majra FC pada perlawanan suku akhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, petang tadi.

Sekalipun babak pertama menyaksikan perlawanan mendebarkan yang menampilkan aksi menarik dengan berbalas serangan oleh kedua-dua pasukan namun gawang masing-masing tetap kukuh tanpa dibolosi.

Namun adegan babak kedua lebih menarik apabila Sld (U) Awang Mohammad Mazazizi akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol menerusi jaringan pada minit ke-55.

Kemudian, Sld Awang Mohd Baharin pula melegakan bos MS ABDB dengan jaringan menarik pada minit ke-60 untuk menjarakkan kedudukan 2-0.


Majra FC yang memberikan cabaran sengit berjaya merapatkan kedudukan apabila Awang Mohammad Julremi tidak mensia-siakan peluang terhidang pada minit ke-70.


Bagaimanapun keceriaan penyokong Majra tidak bertahan lama apabila Sld Awang Affendy pula menambah jaringan seminit selepas itu untuk kedudukan 3-1.


Majra FC yang bangkit pada minit akhir perlawanan bagaimanapun sudah terlambat apabila skuad ABDB itu memperkukuhkan benteng pertahanan mereka hingga babak akhir perlawanan.

No comments:

Post a Comment