Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Piala Sumbangsih DST 2014 menjadi milik juara Piala FA DST 2013, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) setelah berjaya menundukkan Juara Liga Super DST-NFABD 2013, Indera SC dengan jaringan 2-1 malam tadi.
Ia menjadi balas dendam MS ABDB ke atas pasukan yang berjaya merebut gelaran Liga Super DST-NFABD 2013 daripada mereka pada perlawanan terakhir liga tahun lalu selepas menewaskan mereka 1-0.
Dalam perlawanan malam tadi di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, MS ABDB selesa mendahului 2-0 pada babak pertama melalui jaringan Soldadu (U) Md Mazazizi Mazlan pada minit ke-5 dan Soldadu Md Khairuddin Abdul Kadir pada minit ke-25.
Namun minit-minit terakhir menjadi cemas buat MS ABDB apabila Sahrin Momin memberikan Indera SC harapan untuk sekurang-kurangnya seri dan membawa perlawanan ke masa tambahan melalui jaringannya pada minit ke-84.
Walau bagaimanapun, pertahanan MS ABDB bertahan baik untuk mengekalkan kedudukan 2-1 sekali gus membawa pulang Piala Sumbangsih DST 2014. Perlawanan merebut Piala Sumbangsih menjadi penanda bermulanya Liga Super DST-NFABD 2014 dan Liga Perdana DST 2014.
Perlawanan pertama Liga Super DST-NFABD akan berlangsung pada malam 21 Januari ini di Balapan & Padang, KSNHB di antara QAF FC dengan Jerudong FC, bermula pada pukul 8:00 malam.
Liga Perdana DST 2014 pula akan membuka tirainya pada 24 Januari ini dengan dua perlawanan iaitu antara Setia Perdana dengan Perkasa di Kompleks Sukan Berakas dan antara Kota Rangers dengan Rimba Star di Padang & Balapan, KSNHB, kedua-duanya bermula jam 8:00 malam.
No comments:
Post a Comment