Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Harapan Kota Ranger FC untuk terus bertakhta di puncak Liga Super Brunei DST 2017 lebur apabila terpaksa menerima hakikat berkongsi satu mata dengan Indera SC dan ekoran kemenangan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) ke atas Pasukan Kasuka FC baru-baru ini.
MS ABDB kembali ke tangga teratas liga super apabila menunjukkan permainan yang hebat membenam Pasukan Kasuka dengan jaringan 5-0 di Kompleks Sukan Berakas di sini.
Abdul Azizi Ali Rahman menjadi wira MS ABDB setelah menjaringkan empat gol, sementara satu gol lagi disumbangkan oleh Mohd Fadhli bin Haji Awang Salleh.
Sementara itu di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kesilapan Pertahanan Indera SC pada minit ke-11 menghadiahkan sepakan percuma di luar petak yang membolehkan Mohd Faiz Farhan Kamat meletakkan Kota Ranger di depan dengan penyudah cantik.
Selang lima minit kemudian, Mohd Abu Bakar Mahari menghukum kelekaan pertahanan Indera SC apabila memanfaatkan bola yang melantun selepas ditepis oleh penjaga gol untuk gol kedua pasukannya.
Namun begitu baru sahaja separuh masa kedua disambung, kali ini pertahanan Kota Ranger pula leka, menyaksikan Mohd Asri Haji Aspar memanfaatkan hantaran ke dalam petak bahaya untuk jaringan pertama Indera SC.
Indera SC dihadiahkan sepakan penalti selepas Hardi Bujang mengasari penyerang Indera di dalam petak, dan tanggungjawab penalti itu dipikul oleh Mohd Asri untuk menjadikan kedudukan 2-2, yang kekal hingga wisel penamat.
No comments:
Post a Comment