Search This Blog

Thursday, June 7, 2012

QAF FC bertemu Sekolah Sukan




Oleh H J Rahim


Pengerusi Kejohanan selaku Penolong Setiausaha Agung NFABD Haji Awang Mohd Taha menyampaikan taklimat.

Wakil pasukan Wijaya mencabut undian.

Pengurus QAF FC Awang Abd Rahim.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun - Debaran sebanyak 44 buah pasukan yang mendaftar untuk menyertai kejohanan Piala FA Brunei-DST 2012 kini sudah terlerai dengan mengetahui pasukan pencabar masing-masing pada majlis Undian Penentuan Perlawanan di NFABD House, petang tadi.

Pasukan MBS United bertemu pasukan Rimba Star membuka tirai kejohanan itu pada 10 Jun depan di Kompleks Sukan Berakas.

Pengerusi Kejohanan juga selaku Penolong Setiausaha Agung NFABD, Haji Awang Mohd Taha Haji Mohd Tahir yang mempengerusikan majlis berkenaan menyifatkan undian penentuan perlawanan itu sangat menarik dengan setiap pasukan mempunyai peluang untuk melangkah lebih jauh.


Lebih separuh pasukan yang mewakili kelab-kelab baru yang tidak berkesempatan beraksi pada Liga Bola Sepak Kebangsaan nampak bersemangat untuk menampilkan pasukan mereka bersaing pada kejohanan Piala FA yang julungkali dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (NFABD).


Atas kertas, empat pasukan juara pada peringkat kumpulan di persaingan Liga Bola Sepak Kebangsaan seperti LLRC FT, QAF FC, Indera FC dan Majra FC dilihat tidak menghadapi masalah untuk mara ke peringkat ke dua.

 
Undian menarik ialah pasukan QAF FC bakal berdepan dengan pasukan Sekolah Sukan dan Indera FC bakal menguji kehebatan pasukan DSP United. Pasukan Majra Utd pula bakal memberi pengajaran buat pasukan Seri Wira FC.

Namun pasukan LLRC FT perlu lebih berhati-hati dengan pasukan BIBD FC yang dijangka akan membuat perhitungan kedua selepas mereka tumpas kepada pasukan Daerah Belait itu pada perlawanan penutup di pentas Liga Kebangsaan minggu lalu.


Sementara itu, dua pasukan yang sama-sama berjaya ke Liga Super - pasukan Wijaya FC dilihat bakal berdepan dengan pasukan kental - Jerudong FC manakala pasukan Kilanas FC pula berdepan dengan pasukan Rimba Star (Junior)


Pasukan Najib FC yang cemerlang menempah nama ke pentas Liga Super jangan terlalu memandang enteng kebolehan pasukan MIISA United sekalipun pasukan itu sudah tersingkir ke liga daerah musim depan.

 
Pasukan MS ABDB bakal diuji oleh pasukan baru - pasukan Aksi Bersatu sementara pasukan MS Polis akan bertemu pasukan Phosphor FC yang kurang menyerlah pada kejohanan liga kebangsaan lalu.

"Pasukan Sekolah Sukan sudah tentu memiliki pemain yang serba muda. Mereka tentu saja memiliki kepantasan larian mahupun kecergasan permainan. Pertemuan ini sangat menarik untuk pasukan QAF," jelas pengurus pasukan QAF FC, Abd Rahim Daud yang tetap menghormati pasukan lawannya.


Ketika ditanya peluang pasukan QAF ketika bertemu pasukan Sekolah Sukan, pengurus itu menjelaskan kedua pasukan mempunyai peluang yang sama bagaimanapun Awang Abd Rahim menegaskan pasukan QAF FC menyasarkan kejuaraan pada kejohanan sulung ini.


"Kita tidak mengira pasukan mana yang ditemui kerana kita sudah bersedia. Kita tidak menafikan cabaran pasti akan ditemui namun usaha pemain-pemain yang bersungguh-sungguh akan memberikan kejayaan pada pasukan", ujarnya.


Bagi jurulatih pasukan Sekolah Sukan, Pengiran Sariffuddien pula akan memanggil balik kesemua pemain-pemain dari Sekolah Sukan yang beraksi di kelab-kelab lain akan kembali ke pangkuan pasukan Sekolah Sukan.


"Kita akan memberikan saingan yang menarik kepada pasukan QAF. Kita juga mempunyai ramai pemain yang berpotensi untuk diketengahkan terutama pemain-pemain yang mewakili negara pada kejohanan U16 tahun di Sabah baru-baru ini," jelasnya.


No comments:

Post a Comment