Search This Blog

Thursday, December 20, 2012

LLRC di tangga teratas


Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Dis - Setelah berakhirnya minggu pertama Liga Super DST-Brunei 2012-2013 semalam tatkala kesemua 10 pasukan masing-masing telah melalui satu perlawanan, cabaran minggu kedua pula akan bermula pada Jumaat, 21 Disember ini.
Perlawanan pertama bagi minggu kedua berkenaan adalah di antara pasukan di kedudukan keenam, Majra FC, dengan pasukan di kedudukan kelapan, Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei, yang akan bermula pada pukul 8.15 malam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB).

Perlawanan seterusnya pula ialah pada Sabtu, 22 Disember 2012 di antara pasukan di kedudukan ketiga, MS ABDB, dengan pasukan di kedudukan ketujuh, QAF FC, mengambil tempat di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).
Pada Ahad, 23 Disember pula akan berlangsung dua perlawanan iaitu pasukan di kedudukan kesembilan, Najip FC dengan pasukan di kedudukan kelima, Jerudong FC pada pukul 4.15 petang di Balapan dan Padang, KSNHB.

Di sebelah malam pula akan menyaksikan pertembungan di antara pasukan di kedudukan kedua, Wijaya FC dengan pasukan di kedudukan keempat, Indera SC, di SNHB bermula pada pukul 8.15 malam.

Menutup tirai perlawanan minggu kedua adalah perlawanan ke-10 Liga Super DST-Brunei 2012-2013, di antara pasukan tercorot, Kilanas FC dengan pendahulu terkini, LLRC FT pada pukul 8.15 malam di Padang dan Balapan, KSNHB.

Carta kedudukan terkini Liga Super DST-Brunei 2012-2013 menyaksikan tiga pasukan mencatat tiga mata, empat pasukan mengutip satu mata, manakala tiga pasukan lagi belum mengutip sebarang mata.

Tiga pasukan yang telah mengutip tiga mata itu ialah LLRC FT, Wijaya FC dan MS ABDB, namn LLRC FT menduduki tangga teratas dengan tujuh jaringan dan lima bolos, diikuti Wijaya FC dengan empat jaringan bolos dua dan kemudiannya MS ABDB dengan dua jaringan dan bolos satu.

Empat pasukan di kedudukan keempat hingga ketujuh pula tidak dapat dibezakan apabila masing-masing menjaringkan dua gol dan bolos dua gol, manakala tiga pasukan terbawah yang kalah dalam perlawanan pertama masing-masing ialah MS Polis Diraja Brunei (satu jaringan, dua bolos), Najip FC (lima jaringan, tujuh bolos) dan Kilanas FC (dua jaringan, empat bolos).

Keputusan pada minggu pertama adalah seperti berikut: MS ABDB kalahkan MS Polis Diraja Brunei 2-1, Jerudong FC seri 2-2 dengan Majra United FC, Indera SC seri 2-2 dengan QAF FC, LLRC FT tewaskan Najip FC 7-5 dan Wijaya FC menang 4-2 ke atas Kilanas FC.

No comments:

Post a Comment