Search This Blog

Thursday, February 14, 2013

MS ABDB kukuhkan cengkaman


Oleh Hasrulraizan

Mardi Mirza (oren) dalam aksinya mengawal bola di kawasan lawan. Beliau menjaringkan gol tunggal QAF FC melalui sepakan penalti pada minit ke-8.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb - MS ABDB mengukuhkan cengkamannya di persada liga setelah memenangi perlawanannya yang ke-7 malam ini dengan jaringan 3-1 ke atas QAF FC, sekalipun terpaksa bermain 10 orang selama 83 minit dan ketinggalan 0-1 seawal minit ke-8.

Perlawanan tertunda dari Minggu Kedua Liga Super DST-Brunei 2012/2013 itu berlangsung sengit dengan kedua-dua buah pasukan berbalas-balas serangan, namun QAF FC yang lebih awal mendahului menerusi sepakan penalti Mardi Mirza Abdullah Bujang.

Penalti itu terhasil apabila Soldadu Mohd Baharin Hamidon mengasari pemain QAF FC di dalam Petak D, dan pengadil perlawanan, Degat Candai tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah kepadanya dan menghadiahkan sepakan penalti kepada QAF FC.

Perlawanan yang seolah-olah akan berpihak kepada QAF FC yang mempunyai kelebihan seorang pemain itu rupanya masih lagi seimbang, yang terbukti apabila MS ABDB berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-21 hasil jaringan Soldadu Mohammad Khairul Mee Mail.

Kedudukan kekal 1-1 ketika perlawanan di separuh masa pertama itu menghampiri penghujungnya, namun pemain jersi 10 MS ABDB, Soldadu (U) Mohammad Isa Haji Bahar memberikan kelebihan satu gol kepada pasukannya untuk dibawa ke separuh masa kedua apabila membolosi gawang QAF FC pada minit ke-42.

QAF FC penuh semangat memulakan babak kedua untuk mencari gol penyamaan dan kemenangan tatkala mereka mempunyai kelebihan seorang pemain, dengan melakukan serangan bertali arus ke kubu kuat MS ABDB.

Namun pada minit ke-59, MS ABDB pula yang berjaya menambahkan jaringan, sekali lagi disumbangkan oleh Soldadu (U) Mohammad Isa, yang berada dalam kedudukan 1-lawan-1 dengan penjaga gawang QAF FC, menerusi serangan balas pantas mereka yang berkesan.

Kedudukan 3-1 tetap tidak berubah sehingga pengadil meniupkan wisel penamat, bagi memberikan MS ABDB tiga mata penuh menjadikan mata terkumpulnya kepada 19 mata, meninggalkan 6 mata di belakang pencabar terdekatnya, Indera SC di tempat kedua dengan 13 mata, namun Indera SC baru bermain 6 perlawanan.

QAF FC kekal di tangga ke-6 dengan 10 mata, setelah melalui enam perlawanan. Minggu Kesembilan Liga Kebangsaan berkenaan akan bermula Jumaat, 15 Februari ini dengan perlawanan di antara Indera SC dengan Kilanas FC, yang akan mengambil tempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB), pada pukul 4:15 petang.

Liga akan diteruskan lagi keesokan harinya, Sabtu, 16 Februari di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), dengan pertemuan di antara LLRC FT dengan Majra United FC. Minggu Kesembilan menutup tirainya dengan perlawanan tertunda Minggu Keempat iaitu QAF FC lawan Wijaya FC, juga di Balapan & Padang, KSNHB.

No comments:

Post a Comment