BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – MS ABDB
mengesahkan gelaran naib juara menjadi miliknya apabila memusnahkan
harapan pesaing terdekat Najip FC dengan mengalahkannya 3-0, semalam.
Najip FC yang datang dengan 27 mata, hanya empat mata di
belakang MS ABDB, perlu menang malam untuk merapatkan jurang kepada 1
mata, sebelum mesti menang ke atas Indera SC pada perlawanan terakhirnya
musim ini pada 7 September dan mengharapkan Indera SC mengalahkan MS
ABDB pada 13 September.
Kemenangan MS ABDB di Balapan & Padang, Kompleks
Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) terhasil melalui satu gol di
hujung babak pertama dan dua gol di babak kedua, dengan gol pertama
dihasilkan oleh Affendy bin Haji Akup pada minit ke-44.
Jaringan kedua MS ABDB pula dihasilkan oleh ketua
pasukannya, Awangku Md Safri bin Pengiran Othman, manakala gol pemusnah
semangat kebangkitan Najip FC hadir seminit sebelum perlawanan berakhir
yang dijaringkan oleh Md Azizi bin Ali Rahman.
Dengan itu, MS ABDB kini mengumpul 34 mata iaitu enam
mata di belakang Indera SC, pasukan yang baru sahaja mempertahankan
kejuaraan Liga Super yang dijulangnya musim lalu melalui kemenangan 7-1
ke atas QAF FC pada 2 September lalu.
Juara dan naib juara Liga Super DST-NFABD 2014 akan
bertemu pada perlawanan terakhir musim ini pada 13 September ini di
Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang mungkin hanya akan menjadi
perlawanan untuk membuktikan pasukan mana yang berjaya mengakhiri
kempennya penuh bergaya.
No comments:
Post a Comment