Search This Blog

Wednesday, December 9, 2015

MS ABDB berpesta gol, mara ke suku akhir

Oleh Hasrulraizan

TUTONG, 8 Dis – MS ABDB berjaya melepasi dua ujian sukar dalam tempoh tiga hari saja untuk melangkah ke suku akhir Piala FA DST 2015 bermula dengan membelasah Wijaya FC 9-1 pada 4 Disember dan kemudiannya mengalahkan Jerudong FC 3-1 malam tadi.

Pada perlawanan pusingan ketiga kali kedua buat MS ABDB di Kompleks Sukan Tutong malam tadi, Jerudong FC yang menerajui perlawanan menerusi jaringan Mohd Mardi Mirza bin Abdullah Bujang pada minit ke-23.

Namun Lans Korporal Suhaime bin Haji Mohd Yussof sempat menyamakan kedudukan buat pasukan tentera itu pada minit ke-41 iaitu empat minit sebelum rehat untuk mengikat jaringan kedua-dua pasukan pada 1-1.

Seminit selepas rehat, giliran juara bertahan Piala FA DST itu pula mengemudi perlawanan, 2-1, apabila Soldadu Razimie bin Ramli menghukum kealpaan pemain Jerudong FC sejurus sepak mula untuk menggegar gawang lawan.
MS ABDB kekal dalam laluan mempertahankan Piala FA DST apabila mara ke suku akhir menerusi ke-menangan 3-1 ke atas Jerudong FC.
MS ABDB kekal dalam laluan mempertahankan Piala FA DST apabila mara ke suku akhir menerusi ke-menangan 3-1 ke atas Jerudong FC.
Di sebalik percubaan pasukan lawan membolosi gawangnya yang gagal, jaringan Sarjan Adey Shariduan bin Haji Johari ketika perlawanan masih berbaki tujuh minit lagi seolah-olah sudah cukup untuk membunuh semangat kebangkitan Jerudong FC sehingga menyebabkan kedudukan 3-1 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Kemenangan itu menjadikan MS ABDB satu-satunya pasukan yang berjaya mara ke suku akhir Piala FA DST setelah melalui dua perlawanan pusingan ketiga kerana perlu menentang pasukan ‘bye’, Jerudong FC terlebih dulu sebelum dibenarkan melangkah ke suku akhir walaupun sudah menang perlawanan pusingan ketiga ke atas Wijaya FC.

Lebih menarik perhatian lagi adalah apabila MS ABDB membelasah Wijaya FC 9-1 dalam perlawanan di tempat yang sama tetapi tiga malam lebih awal itu yang menyaksikan tujuh orang pemain MS ABDB menjadi penjaring.

Pada perlawanan itu, sebagaimana perlawanannya menentang Jerudong FC malam tadi, MS ABDB tertinggal 0-1 selepas Sigit Prsetia meledakkan jaringan buat Wijaya FC pada minit ke-15.

Namun selepas dibolosi itu, MS ABDB mula mengamuk bermula dengan ledakan jaringan Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman pada minit ke-19, disusuli jaringan Lans Korporal Suhaime dua minit kemudian dan jaringan kedua peribadi Soldadu Abdul Azizi pada minit ke-24 untuk kedudukan 3-1 kekal sehingga rehat.

MS ABDB meneruskan amukannya pada separuh masa kedua dengan penghasilan enam gol lagi iaitu Mohd Bahrin pada minit ke-52, Mohd Mazazizi pada minit ke-56, Razimie pada minit ke-62, Mohd Fadhli pada minit ke-70 dan ke-77, dan Mohd Yusri pada minit ke-74.

Lawan MS ABDB di peringkat suku akhir nanti ialah Kasuka FC, yang sudah awal mara pada pertengahan November lalu selepas berjaya mengalahkan Lun Bawang dengan jaringan tipis 1-0.

No comments:

Post a Comment