Search This Blog

Tuesday, May 2, 2017

MS ABDB menang 2 – 0

Oleh : Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain / Foto : Ihsan A Sahriduan Haji Johari dari MSABDB


TEMBURONG, Ahad, 30 April. - Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) menumpaskan pasukan Lun Bawang FC 2 – 0, di Perlawanan Liga Super Brunei DST 2017 yang berlangsung di Kompleks Sukan Batu Apoi, di sini.

Perlawanan ini merupakan perlawanan pertama MS ABDB dan yang kedua bagi Lun Bawang FC di liga berkenaan.

Sld. Abdul Azizi bin Ali Rahman membuka tirai jaringan pada minit ke-35 separuh masa pertama untuk MS ABDB mendahului 1 - 0. Pasukan Lun Bawang FC segera mengubah rentak permainan mereka dengan melakukan serangan-serangan pantas, namun beberapa percubaan yang dilakukan oleh pemain-pemainnya gagal menembusi gawang lawan yang dikawal ketat oleh penjaga gol MS ABDB, Sld. Tarmizi bin Haji Mat Johari.

Di separuh masa kedua, Sld. Budiman Jumat berjaya melepasi kawalan pertahanan pasukan lawan sebelum membuat rembatan kencang pada minit ke-48, menjadikan kedudukan 2 - 0 dan kekal sehingga penamat perlawanan sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan MS ABDB.

Pengurus pasukan MS ABDB, Mejar (U) Hasnul Alwee bin Haji Matassan semasa ditemui bersyukur kerana walaupun bermain dalam keadaan cuaca agak panas, pemain-pemain MS ABDB dapat menunjukkan prestasi yang baik serta memberikan saingan kepada pasukan lawan, selain mendapati penguasaan ke atas bola adalah seimbang di antara kedua-dua pasukan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan apakah disiplin, mentaliti dan tahap kecergasan atau 'fitness' yang dimiliki para pemain, MS ABDB telah menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan mereka di dalam perlawanan ini, beliau berkata memang terdapat latihan-latihan yang diterapkan kepada para pemain MS ABDB khusus bagi menyediakan mereka bersedia menghadapi permainan di tempat lawan termasuklah ketahanan bermain di bawah cuaca panas.

Biarpun pasukan mereka menang dan nasib menyebelahi mereka pada perlawanan kali ini, Mejar (U) Hasnul Alwee turut berbangga dengan corak permainan baik yang ditunjukkan pihak lawan iaitu Lun Bawang FC yang banyak memberikan mereka saingan hebat dan saat-saat genting.

Beliau juga berharap para pemain MS ABDB akan bersedia untuk beraksi pada pertemuan-pertemuan seterusnya menentang pasukan-pasukan lain dengan perlunya memperbaiki kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam perlawanan kali ini.



No comments:

Post a Comment