Search This Blog

Friday, January 12, 2018

2 pasukan mara suku akhir


Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – DSP United telah berjaya mengalahkan Menglait FC 3-1 dalam aksi perlawanan Piala FA DST 2018 yang berlangsung di padang Kompleks Sukan Tutong, semalam.
Gol pertama DSP United diterima melalui hasil gol sendiri pemain Menglait FC, Awang Khairul Azmi bin Mohammad, memberikan DSP United pendahuluan 1-0 pada minit ke-38.
DSP United sekali lagi menjaringkan gol seawal bermulanya babak kedua, disempurnakan oleh Awang Mohd Hafiy bin Adnan pada minit ke-46.
Dua minit selepas itu, Menglait FC cuba merapatkan kedudukan 2-1 melalui jaringan oleh Awang Mohd Haziq Kasyful Azim.
Namun, Awang Arifubullah bin Masli membuat jaringan terakhir DSP United pada minit ke-73 untuk memberikan DSP United kemenangan 3-1 ke atas Menglait FC hingga tamat perlawanan.

DSP United (jersi putih) dan Wijaya FC (jersi biru) bergambar sebelum perlawanan masing-masing baru-baru ini.

Sementara itu, satu lagi perlawanan Piala FA DST 2018 berlangsung antara Wijaya FC menentang BSRC FT pada Selasa lepas di tempat yang sama.
Dalam perlawanan itu, Wijaya FC menang bergaya 5-1 mengalahkan BSCR FT melalui empat gol dijaringkan oleh Pengiran Anaqi Sufi bin Pengiran Haji Omar dan satu gol lagi dijaringkan oleh Awang Marhazif bin Ahad.
Manakala gol sagu hati pasukan BSRC FT dijaringkan oleh Awang Khairul Asnijam bin Ahmad.
Dalam perlawanan itu juga menyaksikan dua kad merah dilayangkan kepada Haji Syahrul bin Suhaili (Wijaya FC) dan Awang Nurhazwan Khan bin Asmah Khan (BSRC FT) setelah kedua-dua mereka menerima kad kuning kedua dalam perlawanan itu. Sementara, Awang Marhazif bin Ahad (Wijaya FC) menerima kad kuning daripada pengadil perlawanan.
Melalui kemenangan itu kedua-dua pasukan, DSP United dan Wijaya FC telah melayakkan diri ke peringkat suku akhir Kejohanan Piala FA DST 2018.

No comments:

Post a Comment