Search This Blog

Tuesday, January 30, 2018

Lun Bawang FC ikat Tabuan Muda ‘A’

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Chistopher muncul wira bagi Pasukan Lun Bawang FC apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-74 ketika pasukan itu terikat dengan keputusan seri 3-3 menentang Pasukan Tabuan Muda ‘A’ dalam perlawanan Liga Super DST 2017 pada petang kelmarin.
Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Batu Apoi, Temburong itu, menyaksikan Lun Bawang FC mengutip satu mata berharga bagi pasukan tuan rumah yang jarang sekali tumpas ditempat sendiri.
Gol pembuka tirai dalam perlawanan itu dijaringkan oleh pemain Tabuan Muda ‘A’, Awang Mohd Nazif Safwan pada minit ke-14, sebelum ditambah oleh rakan sepasukannya, Awang Mohd Hanif Farhan pada minit ke-26 menjadikan kedudukan 2-0 bagi Pasukan Tabuan Muda ‘A’.
Christopher menjaringkan gol pada minit ke-30 bagi Pasukan Lun Bawang FC yang cuba merapatkan kedudukan 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Manakala, dalam separuh masa kedua pula menyaksikan aksi perlawanan bertambah semakin rancak. Awang Mohd Wafi berjaya menjaringkan gol buat Tabuan Muda ‘A’ pada minit ke-53 dan menambahkan lagi tekanan kepada Pasukan Lun Bawang FC yang ketinggalan 3-1.
Namun, Lun Bawang FC berjaya memecahkan kebuntuan apabila jaringan daripada Awang Mohd Ehsan pada minit ke-72 dan Christopher yang menjaringkan dua minit selepas itu menyamakan kedudukan 3-3 hingga tamat perlawanan.
Dalam aksi perlawanan lain pula menyaksikan Pasukan Jerudong FC menang 3-1 ke atas Pasukan Menglait FC pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas pada Sabtu lalu.
Gol-gol Pasukan Jerudong FC dijaringkan oleh Awang Mudzaffar Al-Arif bin Haji Abdul Rafae’a pada minit ke-57, Awang Asnawi Syaznin bin Abdul Aziz pada minit ke-74, sebelum di tambah oleh Awang Mohd Uzaiz bin Zaini pada minit ke-85.
Manakala, gol tunggal bagi Pasukan Menglait dijaringkan oleh Awang Khalid Wassadi Salleh bin Haji Mahmud pada minit ke-7.
Sementara itu, perlawanan antara Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) menentang Kota Rangers FC dan Wijaya FC menentang Indera SC ditunda baru-baru ini kerana kondisi pedang yang becak.

No comments:

Post a Comment