Search This Blog

Tuesday, January 23, 2018

Kota Ranger menang bergaya


Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jan – Kota Ranger menang bergaya setelah berjaya mengalahkan Wijaya FC dengan jaringan 4-0 dalam perlawanan Liga Super DST 2017 yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Berakas pada malam kelmarin.
Gol pertama Kota Ranger dijaringkan oleh Awang Mohd Faiz pada minit ke-51, sebelum Awang Abu Suffian menjaringkan gol kedua pada minit ke-53 untuk menjadikan kedudukan 2-0. Belum lama selepas itu, Kota Ranger sekali lagi berjaya menjaringkan gol menerusi jaringan Awang Mohd Amalul pada minit ke-56.
Manakala gol terakhir Kota Ranger muncul pada minit ke-76 dijaringkan oleh Awang Abu Suffian sekali gus membawa Kota Ranger kemenangan 4-0 hingga akhir perlawanan tersebut.
Dengan kemenangan itu, Kota Ranger kini terus berada di tempat kedua memberikan tekanan kepada pendahulu liga Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB), manakala Indera SC pula berada di tempat ketiga.
Sebelum perlawanan semalam berlangsung, minggu lalu dua perlawanan Liga Super DST 2017 diadakan antara pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) menentang Kasuka FC dan Jerudong FC menentang Tabuan Muda A.

Kota Rangers FC (jersi merah) menang 4-0 ke atas Wijaya FC dalam aksi Liga Super DST malam kelmarin. – Gambar oleh Hasrulraizan

Dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, MS PDB terpaksa akur berkongsi mata selepas seri 2-2 dengan Kasuka FC.
Gol pertama dalam perlawanan itu dijaringkan oleh Awang Fakhrol Tamimi bin Haji Sahari untuk MS PDB seawal minit ke-7 perlawanan. Bagaimanapun, pada minit ke-31, Kasuka FC berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Haji Shariful Bahrin bin Haji Zainal.
Kedudukan itu tidak kekal lama apabila selang lapan minit kemudian, MS PDB berjaya menjaringkan gol melalui jaringan Awang Mohd Forish Aryan bin Abdul Rahman menjadikan kedudukan 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada separuh masa kedua, Awang Mohd Nazri berjaya menjaringkan gol untuk Kasuka FC pada minit ke-58 sekali gus menyamakan kedudukan seri 2-2 sehingga tamat perlawanan.
Manakala dalam perlawanan lain yang berlangsung di Kompleks Sukan Berakas, Tabuan Muda A berjaya mengalahkan Jerudong FC dengan jaringan 5-0 pada perlawanan Sabtu lalu.

No comments:

Post a Comment