Search This Blog

Wednesday, March 19, 2014

MS ABDB benam Jerudong FC 5-2

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Majlis Sukan (MS) ABDB bangkit dari kekalahan 0-1 kepada MS Polis Diraja Brunei (PDB) untuk menang besar 5-2 ke atas Jerudong FC malam ini dalam kancah Liga Super DST-NFABD 2014.

Kemenangan itu mengekalkannya di kedudukan keempat dengan mengumpul 9 mata daripada lima perlawanan, di belakang Indera SC yang mengumpul 10 mata selepas kemenangannya semalam, 3-0 ke atas LLRC FT.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu, MS ABDB sudah membolosi Jerudong FC seawal minit pertama menerusi jaringan Soldadu Md Baharin Hamidon, dan lima minit kemudian kedudukan MS ABDB bertambah selesa mendahului 2-0 apabila Soldadu Md Khairuddin Abdul Kadir pula menemui sasarannya.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/03/PAGE20-FC_1903023133759.jpg

Soldadu Md Muhaimin meraikan gol keempat MS ABDB yang dihasilkannya bersama
 rakan-rakan bagi membawa MS ABDB mendahului Jerudong FC 4-2.

Bagaimanapun Jerudong FC terus berjuang dan akhirnya Md Esmendy Brahim berjaya menembusi gawang MS ABDB pada minit ke-14 untuk merubah kedudukan kepada 1-2, dan empat-belas minit kemudian kedua-dua pasukan kembali setara apabila Md Basli Md Said menyamakan kedudukan.

Namun Soldadu Affendy Haji Akup mengembalikan semula MS ABDB ke depan menerusi jaringan pertama peribadinya malam ini pada minit ke-34, dan kedudukan 3-2 itu kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Sejurus separuh masa kedua bermula, kedua-dua pasukan terus beradu serangan namun MS ABDB pula yang berjaya menambah jaringan yang dihasilkan oleh Soldadu Md Muhaimin Rosmalee, bagi mengukuhkan kedudukan MS ABDB dengan jaringan 4-2 pada minit ke-56.

Soldadu Affendy menjadikan kedudukan 5-2 menerusi jaringan kedua peribadinya malam ini pada minit ke-68 dan kedudukan 5-2 itu kekal sehingga perlawanan ditamatkan pengadil.

Perlawanan berikutnya buat Jerudong FC adalah pada Selasa, 25 Mac ini menentang Majra United di Kompleks Sukan Berakas, manakala MS ABDB akan turun menentang QAF FC pada Sabtu, 29 Mac nanti di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. – Hasrulraizan

No comments:

Post a Comment