Search This Blog

Thursday, March 13, 2014

Najip FC kekal di persada liga


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Najip FC mencatatkan kemenangan keempatnya malam tadi daripada lima perlawanan Liga Super DST-NFABD 2014 yang sudah dilaluinya untuk terus kekal di persada liga apabila menewaskan pasukan di tangga ketiga musim lalu, Majra United dengan jaringan 3-1, walaupun pesaingnya, Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) turut menang.

Perlawanan di Kompleks Sukan Berakas yang menyaksikan arus serangan lebih deras menuju ke gawang Majra United di babak pertama dengan sesekali Majra United turut melakukan serangan balas merbahaya itu seakan-akan menuju tanpa jaringan di separuh masa pertama.

Bagaimanapun kegagalan pertahanan Majra United untuk menangani hantaran lintang tinggi dari sayap kiri Najip FC melalui Ratano Haji Tuah mengundang padah apabila bola berjaya dikawal baik oleh Abang Nor Sillmy Abang Haji Taha sebelum beliau meledakkan tendangan kencang dari dalam Petak D, yang gagal diselamatkan Md Sahan Mumtazali di gawang Majra United.

Jaringan Abang Nor Sillmy di penghujung babak pertama, pada minit ke-45 itu membolehkan pihak pengurusan dan pemain Najip FC menarik nafas lega membawa kelebihan satu jaringan ke separuh masa kedua.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/03/PAGE20-FC_1303023114772.jpg

Abang Nor Sillmy (kiri) meraikan gol pertamanya buat Najip FC pada di hujung babak pertama bagi pendahuluan 1-0 Najip FC ke atas Majra United.

Sejurus babak kedua bermula, Najip FC seakan masih belum berpuas hati dengan jaringan lewat di babak pertama itu, dan ia dibuktikan dengan serangan teratur dari pasukan tercorot musim lalu itu sehingga membuahkan hasil tiga minit kemudian iaitu pada minit ke-48 menerusi jaringan Haji Khairol Anwar Haji Md Yaakub, untuk pendahuluan 2-0 Najip FC.

Pada minit ke-61 kedua-dua buah pasukan masing-masing berjaya menjaringkan satu gol dengan jaringan Majra United dihasilkan oleh Faizal Mohammad manakala gol ketiga Najip FC itu disumbangkan oleh penjaring gol pertama bagi gol keduanya malam itu iaitu Abang Nor Sillmy.

Dalam perlawanan yang dicemari dengan permainan-permainan keras dan kasar sehingga terjadinya pergaduhan itu berakhir dengan jaringan 3-1 berpihak kepada Najip FC, sekaligus memberikan Majra United yang musim lalu mengakhiri musimnya tanpa kalah itu kekalahan ketiganya musim ini, selepas seolah-olah mula bangkit dengan kemenangan 2-1 ke atas QAF FC pada 4 Mac lalu.

Kekalahan ketiganya itu menjatuhkan Majra United ke tangga kelapan, kekal dengan tiga mata, sama mata dengan QAF FC dan Wijaya FC, namun dengan tambahan tiga bolos dan hanya satu jaringan malam tadi, ketiga-tiga pasukan terikat dengan perbezaan gol yang sama, -4.

Namun QAF FC mempunyai jaringan yang lebih tinggi iaitu 6 gol, berbanding 5 gol buat Wijaya FC dan hanya 3 gol buat Majra United, dan ia menjadi penentu kedudukan ketiga-tiga buah pasukan berkenaan.
Bagaimanapun Wijaya FC baru bermain tiga kali sedang kan Majra United sudah bermain empat kali dan QAF FC pula lima kali. Ini memberi peluang Wijaya FC meninggalkan jauh dua pesaingnya itu jika dapat menang perlawanan berikutnya menentang Jerudong FC pada Sabtu, 15 Mac ini di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Satu lagi perlawanan akan turut dilangsungkan pada 15 Mac itu iaitu di antara QAF FC dengan pasukan tercorot pada masa ini, Kilanas FC, yang masih lagi tercari-cari sentuhan mata sekurang-kurangnya 1 mata daripada catatan seri, di Kompleks Sukan Berakas, bermula pukul 8:15 malam.

No comments:

Post a Comment