Search This Blog

Monday, April 21, 2014

Kilanas FC catat kemenangan kedua


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Kilanas FC mencatatkan kemenangan keduanya dalam kempen pusingan pertama Liga Super DST-NFABD 2014 di perlawanan kelapannya malam tadi untuk keluar dari kedudukan tercorot untuk naik ke tangga kelapan.

Apa yang mengejutkan, pasukan yang ditewaskannya, Wijaya FC, adalah pasukan di tangga keenam yang baru saja mengejutkan pasukan di tangga kedua, Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) pada minggu lalu (12 April) dengan jaringan 1-2.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu, Kilanas FC mempamerkan permainan cukup bertenaga di separuh masa pertama sehingga sudah mendahului 2-0 tatkala permainan baru berlangsung selama 25 minit.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/PAGE22_2104023150992.jpg


Md Azimin (jersi 12) menjaringkan gol kedua manakala Abang Hazim (2 dari kiri) menjaringkan gol pertama dalam kemenangan 2-0 Kilanas ke atas Wijaya.

Gol pertamanya dihasilkan oleh Jersi 8, Abang Hazim Abang Hadzman seawal minit ke-2, manakala gol keduanya pula hadir pada minit ke-25 menerusi jaringan Mohammad Azimin Omar yang memakai Jersi 12.

Walaubagaimanapun, kedudukan 2-0 itu bukan saja kekal sehingga separuh masa pertama berakhir, dan di sebalik serangan bahaya kedua-dua buah pasukan yang pada masa lain boleh saja menghasilkan gol, jaringan 2-0 itu turut kekal sehingga perlawanan tamat.

Tatkala kemenangan mungkin boleh membawanya melonjak ke tangga keempat liga, memintas Najip FC (13 mata) dan LLRC FT (12 mata), Wijaya FC terlepas peluang itu sehingga menyebabkannya kekal dengan 10 mata di tangga keenam.

Perlawanan malam tadi merupakan perlawanan kesembilan dan terakhir Wijaya FC di pusingan pertama Liga Super, manakala bagi Kilanas FC masih berbaki satu perlawanan lagi.

Aksi seterusnya bagi Kilanas FC dan Wijaya FC adalah minggu depan, Sabtu, 26 April, dengan Kilanas FC akan menentang QAF FC buat kali kedua musim ini, di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), manakala Wijaya FC akan bertemu dengan MS PDB, juga buat kali kedua musim ini.

No comments:

Post a Comment