Search This Blog

Monday, March 11, 2013

Indera juara Liga Super



Oleh Hasrulraizan

Para pemain Indera SC meraikan kejayaan sejurus selepas pengadil meniup wisel penamat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac - Indera SC mengesahkan kejuaraan Liga Super DST-Brunei 2012/2013 apabila menangi tipis 1-0 ke atas MS ABDB dalam perlawanan penutup tirai kempen liga berkenaan bagi musim ini, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam ini.

Mohammad Azwan Ali Rahman mencetak gol ke-16nya musim ini pada minit ke-82 perlawanan ketika berjaya berlari memecah masuk kubu pertahanan MS ABDB bagi menerima hantaran leret ke depan rakannya, Hamizan Aziz Sulaiman, untuk hanya berdepan dengan Soldadu Mohd Tarmizi Haji Mat Johari di gawang MS ABDB.

Jaringan keramat itu bukan saja memberikan MS ABDB kekalahan pertamanya dalam Liga Super DST-Brunei 2012/2013 ini tetapi turut menghadiahkan gelaran Juara Liga Super kepada Indera SC.

Indera SC hanya sekadar bertahan di babak pertama dengan format 4-5-1, yang diteruskan ke babak kedua sehinggalah 20 minit terakhir perlawanan apabila berubah kepada 4-4-2, yang nyatanya membuahkan hasil, walaupun jaringan gol hanya hadir lapan minit sebelum berakhirnya perlawanan sengit berkenaan.

Mohammad Azwan boleh saja mencetak gol ke-17nya musim ini menerusi tendangan terakhir perlawanan iaitu tendangan percuma pada minit ke-4 masa kecederaan, betul-betul di depan Petak D MS ABDB, namun bola tendangannya yang menuju jaring atas kanan gawang MS ABDB berjaya ditepis keluar Soldadu Mohd Tarmizi

Liga Super DST-Brunei 2012/2013 berakhir dengan Indera SC dan MS ABDB mengutip mata yang sama, 22 mata, hasil daripada 7 kemenangan, 1 seri dan 1 kalah, namun Indera SC mempunyai kelebihan perbezaan jaringan iaitu +33 (45 gol dan 12 bolos) berbanding hanya +23 (30 gol dan 7 bolos) bagi MS ABDB.

Walaupun sudah sah bergelar "Juara Pertama" Liga Super DST-Brunei, penyampaian Piala Rebutan Liga Super DST-Brunei 2012/2013 belum lagi dilangsungkan. Majlis Penyampaian Hadiah akan diadakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian oleh pihak NFABD.

No comments:

Post a Comment