Search This Blog

Monday, March 4, 2013

MS ABDB kukuh di puncak liga


Oleh Hasrulraizan

Soldadu Budiman ketika membuat rembatan yang menghasilkan gol buat pasukannya MS ABDB.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac - MS ABDB mengukuhkan cengkamannya di puncak Liga Super DST-Brunei 2012/2013 apabila mencatatkan kemenangan 5-1 ke atas Kilanas FC dalam perlawanan hari ini, manakala Wijaya FC menang 7-0 ke atas Najip FC.

Dengan perlawanan menentang pencabar terdekatnya, Indera SC semakin mendekat, MS ABDB mengutip tiga mata berharga bagi menjadikan jumlah matanya kepada 22, tiga mata di atas Majra United FC yang sudah pun menamatkan kempennya musim ini dengan 19 mata selepas kemenangan 1-0 ke atas QAF FC malam kelmarin.

Dalam perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, MS ABDB mendahului 1-0 seminit sejurus sepak mula menerusi rembatan Soldadu Budiman Jumat.

Walau bagaimanapun pendahuluan itu hanya kekal selama 23 minit setelah Mohd Nor Hidayatullah Haji Zaini menyamakan kedudukan pada minit ke-24, bagi menjadikan kedudukan 1-1.

Soldadu Muhammad Hazmi Zolkipli mengembalikan pendahuluan satu gol MS ABDB apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-30, dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga babak pertama berakhir.

MS ABDB bermula cemerlang pada separuh masa kedua apabila Soldadu Budiman menemui sasarannya lagi buat kali kedua tatkala babak kedua baru saja berlangsung dua minit, bagi merubah kedudukan kepada 3-1.

Kedudukan menjadi 4-1 pada minit ke-69 apabila Soldadu Budiman melengkapkan hatriknya, dan pada minit ke-77, giliran Lance Koperal Awangku Mohd Safri Pengiran Haji Othman pula menjaringkan gol bagi gol kelima Kilanas FC, dan kedudukan 5-1 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan.

No comments:

Post a Comment