Search This Blog

Monday, March 11, 2013

Indera SC menang 1-0 ke atas MS ABDB

  • Oleh:  Abu Bakar Haji Abdul Rahman
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 10 Mac. - Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) terpaksa menerima hakikat untuk berputih mata apabila tumpas di tangan pasukan Indera Sport Club (SC) pada perlawanan akhir Liga Super Brunei-DST malam tadi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di sini.

Kekalahan 1-0 tersebut cukup pahit untuk ditelan oleh MS ABDB apabila sepanjang perlawanan pasukan ini tidak pernah mengalami kekalahan.

Malah bagi pasukan Indera SC kemenangan ini merupakan satu kejayaan dan penebus kekecewaan yang lalu apabila tumpas dalam perlawanan akhir Liga FA yang lalu kepada pasukan yang sama juga dengan jaringan yang tipis.

Pengurus pasukan Indera SC, Rosdin bin Haji Abd. Aziz menyifatkan kemenangan tersebut merupakan hadiah berharga di atas jerih payah pasukan mereka yang bermain dengan baik bersama komitmen serta kerjasama padu.

"Merasa tertekan dengan kedudukan yang masih seimbang di mana pasukan lawan cuma memerlukan seri untuk menjadi juara mereka (Indera SC) telah merubah rentak perlahan kepada pantas sekali gus kombinasi awal 4, 5, 1 ditukar kepada 4, 4, 2," ujar Rosdin.

Rombakan 20 minit terakhir tersebut ternyata berhasil apabila Md. Azwan berjaya menjaringkan gol kemenangan saat perlawanan berbaki tujuh minit untuk tamat melalui gerakan sebelah kiri dengan rembatan leret yang gagal ditepis oleh Soldadu Md. Tarmizi.

Namun sebelumnya perlawanan lebih berpihak kepada pasukan tentera apabila sering kali melakukan serangan dan percubaan bahaya bermula daripada separuh masa pertama hingga pertengahan masa kedua.

"Dengan tekad untuk menang akhirnya hajat tersebut terkabul," ujar Md. Azwan sejurus selesai perlawanan.
Beliau yang merupakan penjaring terbanyak liga menyatakan, 'final' malam ini amat penting bagi dirinya apatah apabila berhadapan dengan pasukan abangnya sendiri.

Menurutnya sifat hormat kepada abang sememangnya ada tetapi apabila berada di dalam padang beliau mempunyai prinsip sendiri iaitu lawan tetap lawan.

Dengan berakhirnya perlawanan malam tadi maka berakhirlah Liga Super bagi musim ini dengan pasukan Indera SC muncul sebagai juara dengan mencatat sejarah pertama dalam kejohanan yang dianjurkan oleh NFABD.

No comments:

Post a Comment