Oleh Hasrulraizan TUTONG, 24 Ogos – MS ABDB menghadiahkan kekalahan pertama kepada
juara bertahan, Indera SC dalam Liga Super DST 2015 untuk menghidupkan
kembali peluangnya merampas kejuaraan liga musim ini selepas misinya itu
dilihat goyah akibat tewas mengejut kepada Jerudong FC pada 16 Ogos
lalu.
Kemenangan ulangan perlawanan terakhir Liga Super DST musim lalu
dengan jaringan yang sama, 2-1 itu tidak dicapai dengan mudah dan hanya
hadir empat minit dalam masa kecederaan menerusi jaringan 17257 Lans
Korporal Haji Mohd Yusof bin Haji Md Yassin.
Kalah mengecewakan 2-3 kepada Jerudong FC baru-baru ini membayangi
persembahan para pemain MS ABDB, menyedari lawannya kali ini, Indera SC
telah membelasah Jerudong FC 4-0 pada 2 Ogos lalu.
Tiada siapa dapat menyangkal persembahan bertenaga MS ABDB sehingga
ke penghujung perlawanan terbukti menjadi perbezaan kepada keputusan
perlawanan sengit berkenaan.
MS ABDB menerajui separuh masa pertama dengan jaringan 1-0 sehingga
selesai hasil jaringan 50015 Soldadu Razimie bin Ramli pada minit ke-35. MS ABDB memberikan kekalahan pertama kepada Indera SC menerusi jaringan lewat masa kecederaan, pada minit ke-94.Namun hanya dua minit selepas rehat Indera SC berjaya mendapatkan gol
penyamaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mohammad
Asri bin Haji Aspar.
Ketika perlawanan dilihat akan berakhir dengan kedua-dua pasukan
terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata, Lans Korporal Haji
Mohd Yusof muncul menjadi wira MS ABDB dengan ledakan gol penting pada
minit ke-90+4 yang sekaligus memberikan MS ABDB tiga mata sangat
bernilai.
MS ABDB semakin kukuh di puncak Liga Super DST 2015 dengan 24 mata
dari 9 perlawanan, lima mata di depan Indera SC yang masih memiliki satu
perlawanan dalam tangan. Najip I-Team di tempat ketiga dengan 18 mata
dari 9 permainan, sementara Wijaya FC di tangga keempat dengan 17 mata,
juga dari 9 perlawanan.
No comments:
Post a Comment