Search This Blog

Tuesday, January 15, 2013

MS ABDB terajui liga



Oleh Hasrulraizan

Salah satu serangan berbahaya MS ABDB (kuning) menerusi sepakan sudut, namun berjaya diselamatkan melalui tandukan pertahanan LLRC FT (kuning).

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan - Pertembungan dua pasukan yang berjaya mengutip 6 mata malam ini menjadi perhitungan untuk masing-masing menjarakkan antara satu dengan yang lain dengan 3 mata, dan nyatanya perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu berpihak kepada MS ABDB dengan jaringan 4-0.
Walaupun baru bermain tiga kali, MS ABDB kini menerajui takhta liga selepas mencatat rekod cemerlang menang tiga kali daripada tiga perlawanan untuk mengumpul 9 mata dalam kancah Liga Super DST-Brunei 2012/2013 yang pada masa ini sudah pun berada di Minggu Keempatnya, manakala LLRC FT kekal di tangga ke-5.

MS ABDB memang berhak memenangi perlawanan kerana menguasai perlawanan dengan serangan bertubi-tubi yang tersusun rapi tatkala LLRC FT hanya sekali dua menguji penjaga gol MS ABDB, dan sepakan terkena palang atas gawang MS ABDB pada babak pertama merupakan saat paling hampir untuk mereka membolosi gawang MS ABDB.

MS ABDB mendahului 2-0 di separuh masa pertama hasil jaringan Soldadu Md Bahrin Hamidon pada minit ke-11 dan tandukan Soldadu Affendy Haji Akup dari sepakan sudut pada minit ke-25.

Di minit-minit akhir babak pertama berkenaan barulah LLRC FT berpeluang untuk menguji penjaga gawang MS ABDB yang sama ada berjaya diselamatkan penjaga gol MS ABDB mahupun yang tersasar, dan percubaan terbaik mereka hanya melantun di palang atas MS ABDB.

Sejurus separuh masa kedua bermula, MS ABDB meneruskan rentak separuh masa pertamanya dan mereka tidak perlu menunggu lama untuk menambah pendahuluan mereka kepada tiga gol apabila Soldadu Budiman Jumat menyumbat gol 11 minit selepas bermulanya babak kedua berkenaan.

Soldadu Abdul Azizi Ali Rahman menjadikan kedudukan 4-0 apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-73, dan kedudukan itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat perlawanan berat sebelah berkenaan

Minggu Keempat Liga Super DST-Brunei 2012/2012 akan diteruskan lagi esok malam di tempat yang sama antara pasukan di kedudukan kedua ketika ini, Indera SC, yang sudah mengumpul 8 mata, dengan pasukan di kedudukan ke-6, Jerudong FC yang kini mengutip 5 mata.

No comments:

Post a Comment