Search This Blog

Saturday, January 19, 2013

QAF benam LLRC FT


Oleh Hasrulraizan

Muhammad Hafis (oren) berjaya mengatasi dua pertahanan LLRC FT sebelum memperdaya penjaga gol LLRC FT untuk menjaringkan gol pertama QAF.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan - Minggu Kelima Liga Super DST-Brunei 2012/2013 bermula malam ini dengan perlawanan di antara pasukan di kedudukan kelima, LLRC FT dengan pasukan di kedudukan kelapan, QAF FC dan kesudahannya QAF FC menang 2-0 melalui penghasilan satu jaringan pada setiap separuh masa.

Pada perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB) berkenaan QAF FC mendahului 1-0 setelah pemain jersi 14, Muhammad Hafis Mahari berjaya meloloskan diri dari dua orang pertahanan LLRC FT dan kemudiannya memperdaya penjaga gawang LLRC FC untuk mudah merembat bola masuk ke dalam gawang terbuka LLRC FT pada minit ke-14.
QAF FC sungguhpun mengawal perlawanan berkenaan sedari wisel pemula ditiupkan pengadil, ditambah lagi dengan serangan bahaya yang berterusan dilancarkan, hanya mampu mendahului tipis LLRC FT 1-0 di separuh masa pertama.

Pemain gantian QAF FC, Hardi Bujang kemudiannya menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-72, dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil, bagi memberikan QAF FC kemenangan pertamanya dalam kancah Liga Super berkenaan dan naik satu anak tangga ke tangga ketujuh, dengan 4 mata, selepas tiga perlawanan.

Kemenangan berkenaan juga memberikan pasukan LLRC FT kekalahan ketiga berturut-turutnya, setelah mereka ditewaskan Indera SC dan MS ABDB dalam dua perlawanan sebelum ini, namun mereka kekal menduduki tangga kelima liga dengan 6 mata selepas melalui lima perlawanan.

Perlawanan seterusnya bagi QAF FC ialah menentang MS ABDB pada Rabu, 23 Januari ini di SNHB bermula pukul 8:15 malam, yang merupakan perlawanan yang telah dijadualkan semula selepas ditunda pada Minggu Kedua yang lalu akibat keadaan cuaca dan padang yang tidak mengizinkan.

LLRC pula akan melayani Wijaya FC bagi perlawanan pembuka tirai Liga Super Minggu Keenam pada Jumaat, 25 Januari nanti, juga di SNHB, bermula pukul 8:15 malam.
Minggu Kelima kempen akan diteruskan dengan perlawanan antara pasukan di kedudukan ke-6, Jerudong FC dengan pasukan di kedudukan kedua, MS ABDB pada Sabtu, 19 Januari di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

No comments:

Post a Comment