Search This Blog

Friday, June 6, 2014

Indera kekal tanpa kalah


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Indera SC berjaya meneruskan rekod tanpa kalah malam tadi apabila strategi positif menekan lawan sehingga ke penjaga gol pada separuh masa kedua membuahkan hasil sekali gus memadamkan dua gol Wijaya FC pada separuh masa pertama untuk menang 4-2.

Pertahanan Wijaya FC yang terbukti kebal pada babak pertama sehingga mampu menutup ruang daripada dibolosi Indera SC, ternyata gagal menangani serangan bertali arus lawan pada babak kedua sehingga terhasilnya dua gol tandukan yang diapit oleh dua gol sepakan dalam tempoh 31 minit.

Md Nor Ikwan bin Othman membuka tirai jaringan Indera sembilan minit selepas rehat menerusi tendangan kencang dari luar kotak untuk merubah kedudukan kepada 1-2, dan misi menyamakan kedudukan berhasil pada minit ke-63 melalui tandukan pertahanan Reduan bin Haji Petara.

Kemudian dari sepakan percuma berhampiran tempat tendangan sudut sebelah kanan gawang Wijaya FC, Md Nor Ikwan berjaya menyambungnya dengan tandukan untuk menghasilkan gol ketiga Indera sekali gus membawa pasukannya ke depan buat pertama kali dalam perlawanan malam tadi itu.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/PAGE20-FC_0606023213198.jpg

Md Nur Ikwan (kanan) dan Md Zulkhairy (dua kiri) bersama ketua pasukan Sahrin (dua kanan) meraikan jaringan Reduan (kiri).

Lima minit sebelum masa tamat, Md Zulkhairy bin Razali mengesahkan tiga mata Indera SC menerusi jaringannya tatkala hanya berdepan dengan penjaga gol Wijaya FC selepas mendapat lorongan terus dari tengah, dan 4-2 kekal sehingga wisel penamat.

Wijaya sebenarnya sudah selesa mendahului 2-0 sehingga separuh masa pertama berakhir, hasil jaringan Khalil bin Saab pada minit ke-5 dan ke-20. Dua gol itu seolah-olah memberi petanda akan berakhirnya rekod tanpa kalah, namun persembahan mantap babak kedua pemain Indera SC di sepanjang Liga Super musim ini termasuk ketika bangkit dari ketinggalan 0-3 kepada Kilanas FC pada 4 Mei lalu untuk mencatat keputusan seri 3-3 ternyata bukannya nasib tetapi berupa taktik yang sangat berkesan.

Melalui kemenangannya itu, Indera SC kini 35 mata selepas 13 permainan untuk kekal mengungguli puncak liga, empat mata di depan MS ABDB di tangga kedua yang sudah bermain 14 kali.

Wijaya FC kekal di tangga keenam, masih dengan 17 mata selepas 14 permainan, hanya satu mata di belakang LLRC FT di tangga kelima yang juga sudah bermain 14 kali.

No comments:

Post a Comment