Search This Blog

Wednesday, June 4, 2014

MS PDB menang 3-2 ke atas LLRC FT


Oleh Hasrulraizan

TUTONG, 3 Jun – MS PDB masih belum mengaku kalah, sebaliknya terus memberikan tekanan kepada dua pasukan di atasnya setelah terselamat dari kebangkitan lewat LLRC FT di Kompleks Sukan Tutong malam tadi untuk mengutip tiga mata penting walau sekadar menang tipis 3-2.

Sehingga minit ke-70 permainan, MS PDB sudah selesa mendahului 3-0 melalui jaringan PC 5359 Mohd Saiful Rizal bin Haji Awang seawal minit ke-2 dan dua gol lagi disumbangkan oleh penyerang berbisanya, Korporal 4346 Rosmini bin Haji Abdul Kahar pada minit ke-60 dan ke-70.

Tiga jaringan itu nampak sudah cukup untuk memastikan tiga mata dalam genggaman MS PDB tetapi LLRC FT, yang sebelum perlawanan semalam berjaya mengikat QAF FC 2-2 pada 23 Mei, 3-3 dengan Kilanas FC pada 19 Mei dan MS PDB sendiri di pusingan pertama pada 16 Mei dengan jaringan 2-2, punya rancangan lain di hujung permainan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/PAGE20-FC_0406023132345.jpg

Kesebelasan utama MS PDB dalam kemenangan 3-2 ke atas LLRC FT malam tadi termasuk penjaring dua golnya Rosmini (Jersi 9)

Mohd Ghazi bin Haji Ismawi mencetus semangat kebangkitan LLRC FT apabila berjaya merobek gawang MS PDB pada minit ke-83, dan kemudiannya cetusan semangat itu berganda lagi dengan kejayaannya membolosi pertahanan kental MS PDB buat kali kedua pada minit ke-89.

Jaringan itu menggentarkan MS PDB, membuatkan para pemainnya sedaya upaya melakukan apa saja untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan berkampung di kawasan sendiri untuk mempertahan pendahuluan tipis 3-2 dan nasib menyebelahinya apabila pengadil meniupkan wisel penamat tanpa ada lagi perubahan jaringan.

Melalui kemenangan berharga itu, MS PDB kini mengumpul 25 mata dari 13 permainan untuk kekal di tangga ketiga, hanya tiga mata di belakang MS ABDB di tangga kedua, yang juga sudah bermain 13 kali, dengan Indera SC tujuh mata di depannya tatkala baru bermain 12 kali.

Keputusan tewas itu memberikan tamparan hebat kepada LLRC FT yang pada awal musim memberikan petanda peningkatan persembahannya berbanding musim lalu dengan keputusan-keputusan luar dugaan, menyebabkan kedudukannya kini kekal di tangga ke-5 dengan 18 mata dari 14 permainan, hanya satu mata di depan Wijaya FC di tangga ke-6.

No comments:

Post a Comment