Search This Blog

Thursday, December 25, 2014

MS ABDB finalis Piala FA DST-NFABD


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Dis – MS ABDB kini bergelar finalis Piala FA DST-NFABD 2014 dengan menjadi pasukan pertama layak ke perlawanan akhir melalui kemenangan 3-1 ke atas QAF FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah malam tadi.

MS ABDB sudah mendahului 1-0 seawal minit ke-5 menerusi jaringan ketua pasukannya, Affendy bin Haji Akup yang mudah menendang masuk bola ke gawang terbuka QAF FC selepas sepakan percuma rakannya di luar Petak D terkena tiang kanan gol lawan sebelum melantun ke tengah petak penalti betul-betul di depan Affendy.

Jika lima minit pertama perlawanan lebih dikawal MS ABDB, perlawanan selepas gol pertama itu menyaksikan QAF FC mula mengawal perlawanan dan sering melakukan serangan-serangan bahaya sehingga pada satu ketika Abu Bakar Mahari mendapati dirinya berdepan 1-Lawan-1 dengan penjaga gol MS ABDB tetapi bola yang ditendang melambung tinggi melepasi palang.
 
MS ABDB bernasib baik untuk menyudahkan separuh masa pertama dengan pendahuluan 2-0 apabila Hardi Anak Bujang yang sebelum ini menjaringkan dua gol di perlawanan suku akhir dan sebiji gol di separuh akhir untuk QAF FC menemui sasaran di gawang sendiri pula pada minit ke-43, hanya dua minit sebelum rehat.



Abu Bakar (kanan) menyaksikan peluang terbaiknya untuk menyamakan kedudukan buat QAF FC melepasi palang atas gawang MS ABDB.

Lans Korporal Haji Md Yussof bin Haji Mat Yassin kemudiannya memberikan keselesaan kepada MS ABDB dengan jaringannya hanya tujuh minit selepas bermulanya separuh masa kedua bagi pendahuluan 3-0, yang menyukarkan lagi tugas QAF FC untuk mengejar.

Walau bagaimanapun QAF FC tidak berputus asa dan terus berusaha untuk mendapatkan gol yang akhirnya berhasil pada minit ke-71 menerusi jaringan pemain sayap kanan mudanya, Md Syafiq bin Jefry bagi merubah kedudukan kepada 1-3.

Jaringan itu memberikan QAF FC ruang 19 minit untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dua gol lagi bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun MS ABDB bertahan cemerlang selepas itu bagi memuktamadkan keputusan perlawanan 3-1 sekali gus membawanya ke perlawanan akhir Piala FA DST-NFABD 2014.

Kini MS ABDB hanya perlu menanti siapa lawannya di perlawanan akhir nanti, antara Indera SC dengan Najip FC, yang akan bertarung malam ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 9:00 malam.

No comments:

Post a Comment