Search This Blog

Friday, December 19, 2014

QAF FC ke suku akhir


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – QAF FC berjaya mara ke suku akhir Piala FA DST-NFABD 2014 setelah menang tipis 2-1 ke atas pemenang tempat ketiga Liga Perdana DST 2014, BSRC FT malam tadi.

Pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) berkenaan, QAF FC menguasai perlawanan sedari sepak mula lagi dengan serangan-serangan bahaya dan beberapa percubaan tepat ke gawang BSRC FT.

Walaubagaimanapun, QAF FC hanya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-32 menerusi jaringan penyerangnya, Hardi Anak Bujang, yang kemudiannya sempat menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya di minit terakhir separuh masa pertama.

Mendahului 2-0 ketika perlawanan dimulakan semula selepas rehat, QAF FC meneruskan penguasaannya tetapi gagal untuk menambahkan jaringan bagi memberikan BSRC FT sedikit kelegaan dan keyakinan untuk melakukan kebangkitan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/12/PAGE24-FC_1812023205310.jpg
Antara aksi menarik persaingan sengit peringkat 16 Terakhir Piala FA QAF FC dan BSRC FT.

Kebangkitan itu jelas membuahkan hasil apabila tanpa disangka BSRC FT berjaya membolosi gawang QAF FC untuk merapatkan kembali jaringan pada minit ke-77 hasil percubaan Herman bin Hasanal.

Namun ternyata jaringan itu menjadi jaringan terakhir perlawanan untuk memuktamadkan keputusan 2-1 berpihak kepada QAF FC, sekaligus membawa QAF FC layak ke pusingan seterusnya.

Lawannya di peringkat suku akhir pada 20 Disember nanti di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) ialah MS Polis Diraja Brunei, yang sudah lebih awal mara melalui kemenangan 2-0 ke atas NFABD ‘A’ pada 9 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment