Search This Blog

Tuesday, March 15, 2016

I-Team belasah Kasuka 5-0


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Pemenang tempat ketiga Liga Super DST 2015, Najip I-Team memberikan pelajaran pertama kepada pendatang baru Liga Super, Kasuka FC yang menduduki tempat ketiga Liga perdana DST 2015 di belakang Kota Ranger dan Tabuan B-18, dengan membelasahnya 5-0.
Kasuka FC merupakan muka baru Liga Super tetapi ia telah diperkuat dengan beberapa orang pemain berpengalaman yang telah beberapa musim bermain dalam Liga Super seperti Mohd Mardi Mirza Abdullah Bujang, Muhd Karimurrizal Kasmi, Afindi Yati Tuah, Mohd Abu Bakar Mahari dan Hairol Azaman Shah Abdullah.
Walau bagaimanapun ia masih belum cukup untuknya mencipta kemenangan mahupun memberikan saingan ke atas pasukan yang sudah mantap seperti Najip I-Team.
Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Najip I-Team mendahului separuh masa pertama dengan jaringan 2-0.

Najip I-Team (merah) mula beraksi garang apabila menang 5-0 ke atas pendatang baru Liga Super, Kasuka FC (biru tua).
Najip I-Team (merah) mula beraksi garang apabila menang 5-0 ke atas pendatang baru Liga Super, Kasuka FC (biru tua).

Kedua-dua jaringannya dihasilkan oleh pemain yang baru didapatkannya dari Jerudong FC iaitu Mohd Esmendy Brahim, pada minit ke-16 dan 27.
Penyerang utamanya, Mohammad Azri Zahari membuka akaun jaringannya musim ini tiga minit selepas rehat untuk mengubah kedudukan kepada 3-0.
Hanya lapan minit selepas itu kedudukan semakin selesa buat Najip I-Team dengan terciptanya gol keempat oleh Abdul Azim Abdul Rahman.
Ketika perlawanan masa sebenar sudah tamat, keputusan perlawanan dijangka akan berakhir 4-0 tetapi dua minit dalam masa kecederaan, Haziman Haji Abdul Halim masih sempat mencatatkan namanya dalam senarai penjaring sekali gus memuktamadkan keputusan kepada 5-0.

No comments:

Post a Comment