BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Satu gol pada separuh masa
pertama dan dua lagi pada separuh masa kedua berupaya memberikan Wijaya
FC kemenangan 3-0 ke atas Jerudong FC dalam aksi Liga Super Brunei DST
2016.
Jaringan pertama Wijaya FC disudahkan oleh Suhaimi Anak Sulau pada
minit ke-31 untuk memberikan pasukannya pendahuluan 1-0 yang kekal
sehingga rehat.
Khalil bin Saab menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-76, manakala
ketua pasukannya, Marhazif bin Ahad sempat menemui sasarannya di gawang
Jerudong FC pada minit ke-90, untuk memuktamadkan perlawanan pada
kedudukan 3-0.
Kemenangan itu mengangkat Wijaya FC ke tangga kelima dengan tiga mata
dari dua perlawanan, sementara Indera SC dan MS ABDB yang baru bermain
sekali masih berada di atasnya iaitu masing-masing di tangga kedua dan
keempat, juga dengan tiga mata.
Liga Super kini diterajui Najip I-Team yang mengumpul empat mata dari
dua permainan, manakala Tabuan U-21 menghuni tempat ketiga dengan tiga
mata dari satu perlawanan.
Wijaya FC berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Jerudong FC 3-0.
Jerudong FC yang mengalami kekalahan keduanya dari dua permainan
terus menghuni tangga tercorot tanpa sebarang mata dan sudah pun
dibolosi 10 kali tanpa ada jaringan yang berjaya dihasilkannya setakat
ini. – Hasrulraizan
No comments:
Post a Comment