BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – LLRC FT
pulih daripada permulaan yang goyah tepat pada masanya untuk menang 5-2
ke atas Kilanas FC malam tadi bagi membolehkannya memintas QAF FC di
tangga kelima.
Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan
Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Kilanas FC mengejutkan LLRC FT
apabila mendahului pada minit ke-24 menerusi jaringan Md Khalis
Sarabaya.
Pendahuluan itu hanya bertahan lapan minit saja apabila
Md Hakeem Keri LLRC menyamakan kedudukan, dan kebangkitan itu berterusan
apabila tujuh minit kemudian LLRC pula mendahului 2-1 menerusi jaringan
Awangku Md Azrul Ariffin Pengiran Matussin.
Ketika perlawanan separuh masa pertama hampir tamat,
pemain muda berbakat LLRC FT Awangku Md Haikal Pengiran Zaidi meledakkan
gol ketiga pasukan pada minit ke-44. Babak kedua agak berbeza apabila
Kilanas FC nampak lebih bertenaga dengan serangan pantas menggunakan
kedua-dua sayapnya untuk menewaskan pertahanan LLRC FT.
Usaha mereka akhirnya menggegar gawang LLRC FT buat kali
kedua pada minit ke-49, hanya empat minit selepas separuh masa kedua
bermula, menerusi jaringan Naasiruddeen Wahab.
Jaringan itu menggentarkan LLRC FT dan pemain Kilanas FC
berusaha untuk mencari gol penyamaan pula, namun usaha mereka
dipatahkan apabila Md Amirul Zafrey Md Norshaney menjadikan kedudukan
4-2 pada minit ke-68.
Md Amirul Zafrey mudah menendang bola masuk ke gawang
terbuka Kilanas setelah menerima hantaran silang rendah dari Md Hakeem
Keri, yang berpeluang sendiri untuk menjaringkan gol tatkala hanya
berdepan dengan penjaga gol Kilanas FC Abdul Rahman @ Hazmie Hayat Emzah
tetapi memilih untuk melorongkan bola kepada Md Amirul Zafrey.
Kemurahan hati Md Hakeem Keri itu kemudiannya terbalas
apabila beliau berjaya menjaringkan gol kelima LLRC FT empat minit
kemudian, sekaligus meranapkan peluang kebangkitan Kilanas FC.
Dengan kemenangannya itu LLRC kini di tangga kelima dengan 11 mata
daripada enam permainan, hanya satu mata di belakang MS ABDB di tangga
keempat bagi menjatuhkan QAF FC (9 mata) ke tangga keenam. –
Hasrulraizan
No comments:
Post a Comment