Search This Blog

Thursday, April 17, 2014

Majra tambat Indera


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 April – Majra United yang nampak jauh dari pencapaiannya musim lalu seolah-olah kembali malam tadi apabila menjadi pasukan pertama berjaya mengekang Indera SC daripada menjaringkan gol musim ini untuk mengikat juara bertahan itu 0-0.

Keputusan seri itu sedikit sebanyak menggugat momentum Indera SC menuju kejuaraan selepas meraih kemenangan sukar 2-0 ke atas pencabarnya, MS ABDB, pada 12 April lalu, lebih-lebih lagi MS ABDB menang malam tadi untuk merapatkan semula jurang mata antara dua pasukan di carta dua teratas Liga Super DST-NFABD musim lalu itu.

Walaupun perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu berakhir tanpa sebarang jaringan, perlawanan tetap berlangsung sengit dan tidak kurang dengan serangan-serangan bahaya yang boleh saja menhasilkan jaringan buat kedua-dua buah pasukan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/PAGE22_170402313771.jpg

Gandingan mantap penjaga gawang dan pertahanan Majra United yang dikepalai ketua pasukan Pg Sallehuddin mengekang serangan pemain Indera SC.

Keputusan seri itu membolehkan Majra United mengumpul 5 mata setelah bermain 7 kali dan kembali semula menduduki tempat Ke-8 yang dirampas Jerudong FC pada 14 April lalu, manakala Indera SC yang sudah bermain 8 kali kekal di puncak Liga Super dengan 20 mata.

Majra United masih mempunyai baki dua perlawanan (kedua-duanya perlawanan tertangguh) bagi pusingan pertama Liga Super DST-NFABD 2014 dengan perlawanan berikutnya adalah menentang MS ABDB pada Selasa, 22 April di Kompleks Sukan Berakas.

Sementara Indera SC akan bertemu dengan Jerudong FC, juga pada Selasa, 22 April di Padang & Balapan, KSNHB, bagi perlawanan terakhirnya dalam pusingan pertama Liga Super berkenaan.

Indera SC pastinya ingin kekal ‘kebal’ dan terus konsisten bermain cemerlang serta menjaringkan gol di setiap perlawanan di pusingan kedua nanti, yang gagal pemainnya lakukan malam tadi ke atas Majra United.

Bagi Majra United pula, perlawanan malam tadi mungkin menjadi titik tolak kepada kebangkitannya untuk menjadi pencabar kejuaraan musim ini sebagaimana pencapaiannya musim lalu ataupun sekurang-kurangnya memecah penguasaan lima pasukan teratas Liga Super pada masa ini.

No comments:

Post a Comment