BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April –
Persembahan turun naik Wijaya FC dalam Liga Super DST-NFABD berterusan
malam tadi dan malam tadi telah menunjukkan sudut kecemerlangannya pula
dengan menewaskan pasukan tempat ketiga, MS PDB 4-3.
Ia merupakan kemenangan keduanya ke atas MS PDB selepas
turut menewaskan pasukan berkenaan dalam perlawanan pusingan pertama
kedua-dua pasukan pada 12 April lalu dengan jaringan 2-1.
Persembahan malam tadi membuktikan Wijaya FC merupakan
pencabar kuat, namun tewas kepada Kilanas FC 0-2 pada 19 April lalu pula
memperlihatkan sudut sebaliknya.
Pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas itu Wijaya FC
sudah mendahului 2-0 di babak pertama sebelum mendahului 4-1 pada minit
ke-59, diikuti kebangkitan lewat MS PDB untuk menjaringkan dua gol lagi.
Jamri Johari dan Kalil Saab masing-masing menjaringkan
dua gol malam tadi dan apa yang menarik kedua-duanya meledakkan sebiji
gol pada setiap separuh masa, manakala penjaring MS PDB Rosmini Haji
Abdul Kahar, yang menjaringkan dua gol, dan yang satu lagi dijaringkan
PC Md Nazirul Arsat.
Jamri membawa Wijaya FC ke depan pada minit ke-17,
manakala Khalil menjadikan kedudukan 2-0 dengan sentuhan terakhir
perlawanan di separuh masa pertama. Rosmini merapatkan jaringan, enam
minit selepas rehat, namun Wijaya FC semakin menjauh dengan jaringan dua
gol dalam tempoh empat minit iaitu menerusi Jamri pada minit ke-56 dan
Khalil pada minit ke-59.
Walau bagaimanapun, MS PDB belum mengalah dan terus
berjuang sehingga berjaya membolosi Wijaya FC pada minit ke-69 menerusi
Korporal Rosmini bagi merubah kedudukan jaringan kepada 2-4.
Jaringan PC Md Nazirul pada minit ke-76 menjadikan detik
14 minit perlawanan sangat menarik dengan MS PDB cuba mendapatkan gol
penyamaan sementara Wijaya FC cuba mempertahankan pendahuluan.
No comments:
Post a Comment