BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Indera SC sah naib juara Liga Super DST
2015 tanpa perlu bermain hari ini apabila pesaing terdekatnya, Najip
i-Team tewas 4-5 kepada Wijaya FC petang tadi, tetapi Najip i-Team perlu
berpuas hati kerana tempat ketiga sudah pasti menjadi miliknya.
Najip i-Team dalam laluan tepat merampas kedudukan kedua dari Indera
SC apabila mendahului 4-3 pada minit ke-74 dan masih mendahului ketika
masa sebenar perlawanan hanya berbaki tiga minit.
Awangku Anaqi Sufi bin Pengiran Haji Omar Baki mengejutkan Fardillah
bin Haji Md Ali di gawang Najip i-Team dengan voli daripada petak lawan
pada minit ke-87 selepas menerima hantaran lintang di sebelah sayap kiri
untuk mengikat kedudukan 4-4.
Gol kemenangan Wijaya FC hadir pada minit ke-90 menerusi rembatan
kaki kiri ketua pasukannya, Marhazif bin Ahad, yang menerjah jaring kiri
sebelah bawah gawang Najip i-Team, melangkaui jangkauan Fardillah yang
sudah melayangkan badannya ke kiri.
Perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) itu diterajui Najip i-Team
apabila Mohd Azri bin Zahari menemui sasarannya di gawang Wijaya FC
pada minit ke-9, namun Khalil Saab berjaya menyamakan kedudukan sepuluh
minit kemudian. Awangku
Anaqi (kanan) menjaringkan gol keempat, Marhazif (dua kiri) mencetak
gol kelima. Khalil (kiri) pula menjaringkan dua gol ketika Wijaya FC
menewaskan Najip i-Team.
Muhd Nabil Arif bin Talipudin memastikan Najip i-Team terus di depan
dengan ledakan golnya pada minit ke-39 untuk membawa kedudukan 2-1
sehingga rehat.
Dua minit selepas perlawanan bersambung semula, kedudukan seimbang
semula 2-2, menerusi jaringan Abdul Azim bin Abdul Rasid. Wijaya FC buat
pertama kalinya mendahului perlawanan, dengan jaringan 3-2, apabila
Khalil mencatat gol kedua peribadinya pada minit ke-57.
Perlawanan semakin menarik apabila Najip i-Team mengejar dan berjaya
menyamakan kedudukan 3-3, menerusi jaringan kedua peribadi Muhd Nabil
Arif pada minit ke-69.
Abdul Afiq bin Roslan membawa Najip i-Team menerajui perlawanan buat
kali ketiga dengan sumbangan golnya pada minit ke-74, kini mendahului
4-3 pula.
Kemenangan buat Wijaya FC itu membolehkannya menamatkan kempen Liga
Super DST musim ini dengan mengumpul 31 mata, kekal di tempat keempat,
lima mata di belakang Najip i-Team (36 mata), yang juga sudah sahih
memenangi tempat ketiga musim ini, mengulangi kedudukannya musim lalu.
Najip i-Team, jika menang perlawanan terakhirnya petang ini akan
mengumpul 39 mata, satu mata di atas Indera SC yang masih berbaki dua
permainan lagi. Kemenangan pasti akan memberi tekanan kepada Indera SC
untuk mencatat kemenangan satu daripada dua baki perlawanannya untuk
memastikan naib juara menjadi miliknya.
Namun dengan hakikat kekalahan Najip i-Team itu, dua perlawanan
terakhir Indera SC hanya sebagai pelengkap jadual perlawanannya, tatkala
tiga tempat teratas sudah sah menjadi milik MS ABDB (juara), Indera SC
(naib juara) dan Najip i-Team (ketiga).
Kemenangan itu membolehkan Indera SC mengumpul 38 mata sekali gus
membuka jarak lima mata dengan pesaing terdekatnya, Najip i-Team tatkala
kedua-dua pasukan sama-sama sudah bermain enam belas kali dan
masing-masing ada baki dua perlawanan lagi.
Untuk mengesahkan naib juara liga menjadi miliknya, kini Indera SC
hanya perlu menang satu daripada baki dua permainan ataupun seri
kedua-dua baki perlawanan itu kerana jumlah mata maksimum yang mampu
dikumpul Najip i-Team hanyalah 39 mata, jika ia menang semua baki
permainan.
No comments:
Post a Comment