TUTONG, 17 Nov – Indera SC mengukuhkan kedudukannya di tangga kedua
Liga Super DST 2015 apabila mengenepikan cabaran Wijaya FC di Kompleks
Sukan Tutong dengan kemenangan 3-1.
Jaringan pertamanya adalah hadiah gol sendiri Mohd Thaqif Ruzaini bin Mohd Abdul Rahman pada minit ke-33.
Tiga minit kemudian, Indera SC menambah jaringannya untuk mendahului
Wijaya FC 2-0 menerusi sumbangan jaringan Mohamed Zulkhairy bin Razali.
Wijaya FC bermula garang pada separuh masa kedua untuk merapatkan
jurang jaringan dan ternyata usaha berterusan mereka berhasil pada minit
ke-63 apabila Khalil bin Saab berjaya membolosi gawang Indera SC. Indera SC menang 3-1 ke atas Wijaya FC untuk mengukuhkancengkamannya di tangga kedua Liga Super DST 2015.
Gol tersebut seolah-olah memberi semangat kebangkitan Wijaya FC namun
semangat itu hilang sama sekali apabila Mohammad Hakeem bin Keri
meledakkan jaringan ketiga Indera SC pada masa kecederaan iaitu pada
minit ke-90+1 sekali gus memuktamadkan perlawanan dengan jaringan 3-1
memihak Indera SC.
Kemenangan itu membolehkan Indera SC mengumpul 38 mata sekali gus
membuka jarak lima mata dengan pesaing terdekatnya, Najip i-Team tatkala
kedua-dua pasukan sama-sama sudah bermain enam belas kali iaitu
masing-masing hanya berbaki dua perlawanan lagi.
Untuk mengesahkan naib juara liga menjadi miliknya, kini Indera SC
hanya perlu memenangi satu daripada baki dua perlawanannya ataupun seri
kedua-dua baki perlawanannya itu kerana jumlah mata maksimum yang mampu
dikumpul Najip i-Team hanyalah 39 mata, jika ia menang kedua-dua baki
permainannya.
No comments:
Post a Comment