BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – MS ABDB tidak bermain untuk sekadar
melengkapkan jadual perlawanannya walau sudah mengesahkan kejuaraannya
dalam Liga Super DST 2015 tetapi terus mengekalkan momentum
kemenangannya apabila mencatat kemenangan ke-16 dari 17 perlawanan musim
ini kelmarin, 4-1 ke atas Lun Bawang.
Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara
Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, MS ABDB mendahului 2-0 pada separuh masa
pertama dengan kedua-dua gol disumbangkan oleh Soldadu Razimie bin Ramli
masing-masing pada minit ke-26 dan ke-41.
Sebelas minit selepas rehat, Sarjan Adey Shariduan bin Haji Johari
menambah jaringan buat MS ABDB mendahului 3-0 disusuli dengan jaringan
penalti Soldadu Nazirul Hazim bin Haji Mahadin pada minit ke-67.
Dalam kegembiraannya membolosi gawang lawan buat kali keempat itu,
para pemain MS ABDB buat pertama kalinya menjadi alpa dan kelemahan itu
berjaya diambil peluang oleh Zaimi Awat untuk merobek gawang MS ABDB
hanya seminit selepas jaringan keempat MS ABDB berkenaan. MS ABDB (kuning) meneruskan momentum kemenangannya apabila mengalahkan Lun Bawang (biru) dengan jaringan 4-1, kelmarin.
Jaringan pada minit ke-68 itu ternyata menjadi gol terakhir
perlawanan untuk kedudukan 4-1 menjadi keputusan muktamad perlawanan.
Dengan tambahan tiga mata itu, MS ABDB kini terus gah di puncak liga
dengan 48 mata tanpa dapat digugat-gugat lagi, tiga belas mata di atas
pencabar terdekatnya, Indera SC di tangga kedua yang masih perlu
berjuang mendapatkan gelaran naib juara dengan Najip i-Team di tempat
ketiga dengan 33 mata.
Lun Bawang pula kekal di tangga kelapan liga dengan 12 mata daripada
sejumlah 17 permainan, hanya berbaki satu permainan lagi, masih belum
selamat daripada penyingkiran memandangkan IKLS FC di bawahnya yang
mengumpul sebanyak sembilan mata setakat ini masih berpeluang lagi
memintasnya kerana masih memiliki baki sebanyak tiga perlawanan.
No comments:
Post a Comment