BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Piala Sumbangsih DST Brunei 2016 sekali
lagi mempertemukan dua pesaing utama kejuaraan Liga Super DST Brunei
iaitu Indera SC dan MS ABDB yang masing-masing berbagi satu kejuaraan
Piala Sumbangsih DST antara mereka.
Justeru Piala DST Sumbangsih 2016 yang akan diadakan esok, 5 Mac 2016
di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB)
pada pukul 8:15 malam itu seolah-olah menjadi ‘set ketiga dan penentuan’
bagi kedua-dua pasukan.
Piala Sumbangsih DST Brunei yang buat kali ketiganya menjadi rebutan
sebagai pembuka tirai Musim Liga Bolasepak Brunei itu telah dijulang
oleh MS ABDB pada edisi 2014, manakala Indera SC menjulangnya pada edisi
musim lalu, 2015.
Dalam sidang media di NFABD House petang tadi yang dipengerusikan
oleh Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali,
kedua-dua pasukan mengakui peluang kemenangan mereka adalah 50-50 iaitu
siapa yang membuat kesilapan akan merana.
Pengurus Pasukan Indera SC, Haji Omar bin Haji Jamil tidak
berselindung menyatakan sasaran utamanya musim ini adalah untuk
memenangi Piala FA DST yang belum pernah dimenangi oleh mereka kerana
dalam tiga musim kebelakangan, ketiga-tiganya dijuarai oleh MS ABDB. Awang
Mohd Afi (dua kiri) dan LKpl Awangku Mohd Safri (dua kanan) memegang
Piala Sumbangsih DST sambil diapit oleh Haji Omar (kiri) dan Mej (U)
Razanol Hardi (kanan).
Justeru, beliau melihat Piala Sumbangsih DST 2016 ini sebagai petanda
penting hala tuju Indera SC dalam merebut kembali kejuaraan Liga Super
DST dan kemudiannya menjulang Piala FA DST buat pertama kalinya.
Pendekatan Indera SC tetap sama iaitu setiap hari, setiap perlawanan
adalah berbeza, bergantung kepada persembahan pemain atas padang dan
juga cuaca, kerana kelemahan ketara Indera SC menurutnya adalah bermain
semasa hujan, ujarnya tanpa berselindung.
Pengurus Pasukan MS ABDB, Mejar (U) Razanol Hardi bin Abdul Razak
pula menegaskan MS ABDB menganggap semua perlawanan adalah untuk
dimenangi dan walaupun bertemu dengan Indera SC, pasukan yang sering
dijumpai mereka sama ada dalam perlawanan liga, Piala FA mahupun Piala
Sumbangsih, setiap tahun adalah berbeza.
Maka beliau menegaskan MS ABDB akan bermain untuk menang walaupun
kejayaan merangkul dua kejuaraan musim lalu, Liga Super DST dan Piala FA
DST memberikan kesan kepada persiapan mereka kali ini kerana ramai
pemain yang masih belum pulih sepenuhnya.
“Kami mengalu-alukan cabaran dan sentiasa menjangkakan akan
menghadapi cabaran sukar apabila berdepan dengan Indera SC,” tambahnya.
Untuk musim kali ini, Indera SC akan menampilkan empat atau lima
orang pemain baru, manakala MS ABDB akan memperkenalkan dua atau tiga
orang muka baru.
Turut hadir sama dalam sidang media berkenaan ialah Ketua Pasukan
Indera SC, Awang Mohd Afi bin Aminuddin dan Ketua Pasukan MS ABDB, Lans
Korporal Awangku Mohd Safri bin Pengiran Haji Othman.
Perlawanan dalam Liga Perdana DST Brunei 2016 yang akan bermula pada
11 Mac dengan dua perlawanan nanti akan diteruskan selepas Piala
Sumbangsih DST Brunei 2016, manakala Liga Super DST Brunei 2016 pula
dijadualkan bermula pada 12 Mac, juga dengan dua perlawanan.
No comments:
Post a Comment