Search This Blog

Monday, March 7, 2016

MS ABDB juarai Piala Sumbangsih


Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – MS ABDB mengembalikan semula Piala Sumbangsih Brunei DST yang pernah menjadi miliknya pada 2014 ke dalam kabinet pialanya setelah menewaskan juara tahun lalu, Indera SC dengan jaringan tipis 2-1 dalam perlawanan pembuka tirai Musim Liga Bolasepak Brunei 2016 malam tadi.
Hadir menyaksikan perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu dan seterusnya menyempurnakan pengalongan pingat serta penyampaian piala kepada kedua-dua pasukan ialah Penolong Pengurus Am, Bahagian Perniagaan DSTcom, Haji Amer Iskandar bin Pehin Dato Haji Zakaria.
Menerima Piala Rebutan Piala Sumbangsih Brunei DST bagi pihak MS ABDB ialah Pengurus Pasukan MS ABDB, Mejar (U) Razanol Hardi bin Abdul Razak dan Ketua Pasukan MS ABDB, Lans Korporal Awangku Mohd Safri bin Pengiran Haji Othman.
Hadir sama menyaksikan perlawanan sengit itu ialah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof; Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali, EXCO & Pegawai NFABD serta pegawai dari DST.
Satu jaringan pada setiap separuh masa terbukti cukup untuk MS ABDB menjulang piala berkenaan buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun sejak ia mula diperkenalkan pada 2014.
LKpl Awangku Mohd Safri (kanan) ketika menerima piala iringan juara Piala Sumbangsih DST Brunei 2016 daripada Haji Amer Iskandar (kiri).
LKpl Awangku Mohd Safri (kanan) ketika menerima piala iringan juara Piala Sumbangsih DST Brunei 2016 daripada Haji Amer Iskandar (kiri).
Jaringan pertamanya hadir pada minit ke-32 yang disumbangkan oleh penjaring utamanya musim lalu, Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman, manakala gol keduanya dihasilkan oleh Lans Korporal Haji Mohd Yusof bin Haji Matyassin pada minit ke-73 menerusi sepakan percuma cantik berhampiran garis petak D Indera SC.
Gol kedua itu hadir tiga minit selepas penjaga gol Indera SC dibuang padang kerana menjatuhkan pemain MS ABDB hanya beberapa sentimeter di luar petaknya dalam cubaannya menghalang serangan balas MS ABDB dalam situasi dua lawan satu.
Walau bagaimanapun MS ABDB terpaksa melalui tempoh mendebarkan dan mencemaskan di penghujung perlawanan dengan serangan bahaya bertali arus daripada Indera SC, lebih-lebih lagi selepas Indera SC yang hanya bermain 10 pemain berjaya membolosi gawang MS ABDB pada minit ke-89 menerusi ledakan Awang Mohd Asri bin Haji Aspar.
Dengan kejayaan merangkul Piala Sumbangsih Brunei DST 2016, maka MS ABDB sudah merangkul enam piala sejak NFABD menganjurkan Musim Liga Bolasepak Brunei pada 2013 iaitu Piala FA DST 2013, Piala Sumbangsih DST 2014, Piala FA DST 2014, Piala FA DST 2015 dan Piala Liga Super DST 2015.
Manakala tiga daripada sejumlah sembilan piala yang menjadi rebutan dalam tempoh empat tahun NFABD menganjurkan Musim Liga Bolasepak Brunei itu, Indera SC memenangi tiga daripadanya iaitu Piala Liga Super DST 2013, Piala Liga Super DST 2014 dan Piala Sumbangsih DST 2015.

No comments:

Post a Comment