Search This Blog

Sunday, May 11, 2014

Azmanuddin wira Al-Idrus FT


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Azmanuddin bin Haji Gillen muncul wira Al-Idrus FT bukan hanya kerana gol kemenangan pada minit ke-71 tetapi juga membantu mencipta peluang untuk dua gol Rosmini bin Haji Abdul Kahar bagi menamatkan kempen XN FT dalam Piala FA Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan Ke-5, 2014 setakat suku akhir.

Dalam pertembungan XN FT dengan Al-Idrus FT yang layak menjadi perlawanan final namun sebaliknya terundi bertemu awal di peringkat suku akhir itu jelas mempersembahkan permainan bermutu tinggi sesuai dengan status kedua-dua pasukan pilihan juara yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Perlawanan itu dijangkakan akan menjadi persaingan antara penjaring utama berbisa kedua-dua pasukan iaitu Haji Hassan bin Haji Damit bagi Al-Idrus FT dan Suni Mat Jerah bagi XN FT, tetapi ganjil pula taktik Al-Idrus FT petang ini apabila Haji Hassan ditugaskan mengawal pergerakan Suni di bahagian pertahanan.

Dalam perlawanan di Pusat Tingkatan Enam (PTE) Meragang berkenaan, taktik itu seolah-olah tidak berkesan apabila Suni masih berjaya membolosi Al-Idrus FT dua kali di separuh masa pertama iaitu pada minit ke-17 bagi pendahuluan 1-0 XN FT dan kemudiannya pada minit ke-39 untuk merubah kedudukan menjadi 2-1.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/05/PAGE20-FC_1005023111547.jpg

Rosmini (dua kiri) dan Azmanuddin (putih) dalam aksi Piala FA Veteran.

Walau bagaimanapun, pemain MS PDB dalam Liga Super DST-NFABD 2014, Rosmini tampil mengimbangi jaringan Suni berkenaan apabila menjaringkan gol pertamanya di antara dua gol Suni iaitu pada minit ke-25 dan kemudian gol keduanya terhasil seminit selepas rehat bagi mengikat kedudukan 2-2.

Perlawanan menjadi bertambah sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan mencari gol kemenangan namun gagal sehinggalah terhasilnya jaringan Azmanuddin pada minit ke-71, dan kedudukan 3-2 berpihak kepada Al-Idrus FT itu kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Turut mara ke separuh akhir Piala FA Kejohanan berkenaan pada petang ini ialah I-Team, yang berjaya menundukkan MIX FT 3-0 di Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun.

Kesemua gol I-Team dihasilkan pada separuh masa kedua menerusi Noormasasaidrwan bin Md Sani pada minit ke-52, Zulkifli bin Haji Abu Bakar pada minit ke-65 dan Haji Usen Haji Basar pada minit ke-87.

Perlawanan di Kompleks Sukan Temburong antara MIISA Utd FC dengan Stoneville FC yang turut dijadualkan berlangsung petang ini pula telah ditangguhkan akibat keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Sementara perlawanan antara PSJD dengan IKLS Veteran di Kompleks Sukan Tutong telah dihentikan pada minit ke-80 dengan kedudukan terikat 1-1 kerana masalah teknikal.

No comments:

Post a Comment