Search This Blog

Tuesday, May 27, 2014

MS ABDB kutip tiga mata penuh


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – MS ABDB mengutip tiga mata penuh malam tadi selepas menterbalikkan keputusan pusingan pertama 11 Mac lalu ketika ia kalah 0-1 kepada lawannya malam tadi, MS PDB, di depan Instruktor Pengadil AFC Okada Masayoshi, yang bertugas menilai prestasi pengadil dan pembantunya pada perlawanan terbabit.

Dengan Stadium Negara Hassanal Bolkiah buat pertama kalinya menjadi tempat perlawanan bagi Liga Super DST-NFABD, MS ABDB tetap gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan seorang pemain selepas Rokiman bin Kisut dilayangkan kad merah terus pada minit ke-17 bagi memberikan MS ABDB kelebihan selama 73 minit.

Pengadil perlawanan yang hanya melihat insiden di sebelah kiri kotak MS PDB itu dari belakang pada sudut “pukul 2” mendepani gawang MS PDB, sedang garis penglihatannya turut terhadang oleh Md Aliuddin bin Awang Haji Basar yang berada di antaranya dengan tempat insiden, memutuskan bahawa Rokiman bersalah menjatuhkan Md Khairul Mee bin Mail.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/05/PAGE21_2705023201698.jpg

Korporal Suhaimi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-18 untuk memberikan MS ABDB kemenangan 1-0 ke atas MS PDB.

Tatkala Rokiman berjaya merapatinya dan bersaing bola bahu-ke-bahu dari sebelah kanan, Md Khairul yang nampak tegap kelihatan mudah jatuh tersungkur tatkala badan Rokiman mula menyentuh badannya dan dalam persaingan itu Rokiman berjaya memenangi bola.

Kejayaannya menghalang Md Khairul dari melakukan rembatan pada jarak dekat bertukar menjadi kegagalan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti dan terus melayangkan kad merah kepadanya, selepas mendapat tekanan dari pemain MS ABDB, yang mengatakan Rokiman merupakan pertahanan terakhir.

Lans Korporal Suhaimi bin Haji Md Yussof tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti berkenaan ke sudut kiri bawah gawang yang gagal diselamatkan Pengiran Md Muizzudin bin Pengiran Ismail walaupun dia sudah melompat ke arah yang tepat bagi memberikan MS ABDB pendahuluan 1-0 pada minit ke-18.

Selain gol menerusi sepakan penalti itu, MS ABDB gagal menambah jaringan walaupun MS PDB terpaksa bermain 10 orang untuk tempoh lebih 73 minit, namun jaringan 1-0 sudah cukup untuknya mengutip tiga mata penuh untuk terus mengejar Indera SC di persada Liga Super.

MS ABDB kini mengumpul 28 mata dari 13 permainan, hanya satu mata di belakang Indera SC yang baru bermain 11 kali, manakala MS PDB kekal di tangga ketiga dengan 22 mata selepas 12 permainan.

No comments:

Post a Comment