Search This Blog

Thursday, March 6, 2014

Majra United kutip tiga mata penuh


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Jaringan lewat, seminit sebelum perlawanan berakhir dari Md Abdul Azim Said memberikan Majra United tiga mata penuh malam ini dengan kemenangan 2-1 ke atas QAF FC yang hanya bermain 10 orang setelah Awangku Ary Mazhisham Pengiran Haji Muhamad dibuang padang empat minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Dalam perlawanan Liga Super DST-NFABD 2014 di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam ini berkenaan, QAF FC, walaupun kurang seorang pemain masih berjaya mengimbangi perlawanan dengan turut melakukan serangan bahaya yang akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-81 menerusi jaringan Md Abu Bakar Mahari.

Jaringan sembilan minit sebelum perlawanan tamat berkenaan seolah-olah sudah cukup untuk menghadiahkan QAF FC satu mata, namun Md Abdul Azim menjadi wira Majra United untuk memberikan tiga mata penuh pertama buat pasukannya yang tewas dalam dua perlawanan awalnya sebelum ini.







Penjaga gol QAF FC, Md Faizal ketika berjaya menangkap bola dalam satu serangan bahaya Majra United.

Majra United mendahului perlawanan sengit 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Faizal Mohammad pada minit ke-28, iaitu ketika QAF FC masih lagi bermain 11 orang.

QAF FC malam ini turun tanpa kelibat penjaring terbanyak bersama Liga Super berkenaan, Sam Prank, yang setakat ini sudah menjaringkan 3 gol, kerana sudah dilayangkan tiga kad kuning dari tiga perlawanannya sebelum ini, di samping ketiadaan pemain penyerangnya yang seorang lagi, Md Hafis Mahari.

Kemenangan itu membolehkan Majra United yang sudah bermain tiga kali naik dari tangga ke-9 ke tangga ke-6, memintas Wijaya FC, QAF FC dan Jerudong FC, manakala QAF FC pula jatuh dari kedudukan ke-7 ke kedudukan ke-8, masih dengan 2 mata setelah melalui empat perlawanan.

No comments:

Post a Comment