Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Majlis Sukan (MS) Polis
Diraja Brunei (PDB) merampas takhta Liga Super DST-NFABD 2014 dari Najip
FC malam ini dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot
Kilanas FC.
Md Bohari Md Hasan menjadi wira MS PDB apabila
menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-70 menerusi rembatan kencang
kaki kanan dari dalam kotak Kilanas, selepas pasukannya dikejutkan
dengan gol penyamaan Kilanas seminit sejurus separuh masa kedua bermula.
Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan
Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Jasriman Haji Johari memberikan MS
PDB gol pendahuluan pada minit ke-17, dan kedudukan 1-0 kekal sehingga
tamat separuh masa pertama.
Kilanas yang setakat ini belum memungut sebarang mata
bangkit segera pada babak kedua apabila Md Nor Hidayatullah Haji Zaini
menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-46 untuk merubah kedudukan
kepada 1-1, sekali gus menjadikan perlawanan semakin menarik.
MS PDB yang tersentak sebaliknya memberikan Kilanas
lebih keyakinan untuk terus memburu gol dan perlawanan menjadi seimbang
selepas gol berkenaan dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan.
Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Kilanas
apabila hantaran lintang rendah dari sayap kanan MS PDB nampak dapat
dikendalikan mudah oleh penjaga gawang Kilanas yang sudah rebah
menangkap bola dengan kedua-dua tangannya, cuma tiba-tiba bola terlepas
dan bergolek ke kaki Md Bohari yang menunggu di depan kawasan penalti
untuk mudah merembat bola masuk ke gawang lawan.
No comments:
Post a Comment