Search This Blog

Monday, March 31, 2014

MS ABDB benam QAF FC 3-0


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Majlis Sukan (MS) ABDB melompat dua anak tangga untuk menduduki tangga kedua Liga Super DST-NFABD 2014 selepas menjaringkan tiga gol di separuh masa pertama untuk menang 3-0 ke atas QAF FC malam tadi di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

MS ABDB mendahului pada minit ke-16 menerusi jaringan Jersi 8, Soldadu Md Baharin Hamidon, sebelum menghasilkan dua gol pantas selang seminit antara satu sama lain iaitu pada minit ke-32 menerusi jaringan Jersi 19, Soldadu Md Muhaimin Rosmalee dan pada minit ke-33 oleh Jersi 7, Soldadu Budiman Jumat.

Manakala dalam satu lagi perlawanan Liga Super DST-NFABD 2014 di Kompleks Sukan Berakas, Wijaya FC mengenepikan cabaran awal Kilanas FC dengan jaringan dua gol dalam tempoh lima minit di 15 minit terakhir perlawanan tatkala kedudukan ketika itu terikat 2-2 untuk menang 4-2.

Awangku Anaqi Sufi Pengiran Haji Omar Baqi membuka tirai jaringan pada minit ke-13 untuk Wijaya FC mendahului 1-0, sebelum Haji Md Halimi Haji Abu Bakar menjadikan kedudukan 2-0 lapan minit kemudian.




Penjaring gol ketiga MS ABDB, Soldadu Budiman Jumat ketika bersaing mendapatkan bola dengan Sam Prank (kanan) dalam kemenangan 3-0 MS ABDB ke atas QAF FC.

Namun penyerang utama Kilanas FC, Pengiran Md Sallehudin Pengiran Sarifudin berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-39 dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Pengiran Md Sallehudin memberikan permulaan cemerlang lagi hebat buat Kilanas FC di separuh masa kedua apabila menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya ketika separuh masa kedua baru berlangsung selama seminit, menjadikan kedudukan terikat 2-2.

Kebangkitan Kilanas FC itu cuma bertahan sehingga minit ke-75 apabila Khalil Saab membawa Wijaya FC ke depan semula dengan tunggalnya bagi merubah kedudukan jaringan kepada 3-2.

Tatkala Kilanas FC masih lagi tersentak dengan gol itu, Haji Md Halimi menjaringkan gol kedua peribadinya malam itu bagi gol keempat Wijaya FC empat minit kemudian, sekaligus menghancurkan semangat kebangkitan Kilanas FC, dan kedudukan 4-2 itu kekal sehingga perlawanan ditamatkan pengadil.

Dengan berlangsungnya dua perlawanan berkenaan malam tadi, kedudukan Liga Super DST-NFABD 2014 tidak banyak berubah kecuali peningkatan kedudukan MS ABDB dari tangga Ke-4 ke tangga Ke-2 menyebabkan dua pasukan di atasnya sebelum ini masing-masing turun satu anak tangga iaitu Najip FC ke tangga Ke-3, dan Indera SC ke tangga Ke-4. Pungutan mata MS ABDB adalah sama dengan Najip FC iaitu 12 mata, tetapi MS ABDB memiliki kelebihan 21 jaringan dan 10 bolos berbanding 11 jaringan dan 4 bolos bagi Najip FC. Bagaimanapun Najip FC baru bermain 5 kali berbanding 6 kali bagi MS ABDB.

Manakala satu-satunya pasukan yang belum tewas, Indera SC, hanya dua mata di belakang MS ABDB dan Najip FC di tangga Ke-4, dengan memiliki kelebihan berbaki dua perlawanan berbanding MS ABDB dan satu perlawanan berbanding Najip FC.

Dengan kekalahannya malam tadi, QAF FC kekal di tangga Ke-5 dengan 9 mata selepas mengharungi 8 perlawanan, manakala Wijaya FC yang kini mengumpul 7 mata selepas kemenangannya malam tadi, masih kekal di tangga Ke-7, mengumpul sama mata dengan LLRC FT di tangga Ke-6.

Bagaimanapun LLRC FT kekal di tangga Ke-6 dengan kelebihan 7 jaringan dan 8 bolos berbanding 12 jaringan dan 15 bolos bagi Wijaya FC, dan LLRC FT baru bermain empat kali berbanding sudah enam kali bagi Wijaya FC.

Jadual seterusnya bagi Liga Super DST-NFABD 2014 adalah perlawanan antara LLRC FT dengan Majra United pada Isnin ini, 31 Mac, di Kompleks Sukan Tutong, bermula pukul 8:15 malam.

No comments:

Post a Comment