Search This Blog

Wednesday, March 12, 2014

QAF FC seri 2-2 dengan LLRC FT


Oleh Hasrulraizan

TUTONG, 11 Mac – LLRC FT terlepas peluang memintas dua pasukan teratas Liga Super DST-NFABD 2014 apabila berjaya diikat 2-2 oleh QAF FC dalam satu-satunya perlawanan Liga Super DST-NFABD 2014 malam kelmarin.

Perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu menjadi perlawanan yang hebat lagi menarik dengan kedua-dua pasukan menunjukkan gaya permainan menyerang dengan hantaran-hantaran pantas tetapi cukup berbeza dari segi pendekatannya, yang memberi petanda bahawa perlawanan itu tidak akan berakhir tanpa jaringan.
LLRC FT lebih banyak melakukan percubaan-percubaan dari jarak jauh dan serangan dari sayap yang dipatah ke tengah sebelum rembatan dilancarkan, manakala QAF FC lebih banyak menggunakan hantaran-hantaran lintang tinggi ke dalam Petak D lawan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/03/PAGE21_1203023225754.jpg

Perebutan bola di antara Awangku Md Haikal (kiri) dengan Mardi Mirza dalam perlawanan yang berkesudahan LLRC FT dan QAF FC seri 2-2 berkenaan.

Di sebalik serangan-serangan bahaya kedua-dua buah pasukan, jaringan hanya hadir pada minit ke-29 di pihak QAF FC yang disudahkan cantik oleh Md Abu Bakar Mahari melalui rembatan kencang kaki kanan dari sebelah kanan Petak D LLRC FT tatkala dua orang pertahanan LLRC FT di depannya tidak sempat menghadangnya, untuk bola menggegar gawang kanan LLRC FT.

Namun pendahuluan itu hanya seketika tatkala Jersi 10 LLRC FT, Awangku Md Haikal Pengiran Zaidi menyudahkan sepakan percuma di luar sebelah kiri Petak D QAF FC dengan kencang pada minit ke-35, yang berjaya ditepis hujung jari dua tangan penjaga gawang QAF FC namun bola terlalu kencang dan tetap menerjah sudut bawah gawang kiri QAF FC.

Tidak lama kemudian kedudukan menjadi 2-1, berpihak kepada LLRC FT pula, menerusi jaringan dari sepakan kencang Md Amirul Zafrey Md Norshaney di kawasan tengah di luar garisan Petak D QAF FC, tiga minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Ketinggalan satu gol, QAF FC membuat perubahan taktikal dengan Petrus Jumat yang sebelum ini bermain sebagai sayap kiri bertukar menjadi sayap kanan, dan dipertanggungjawabkan untuk membuat hantaran lintang tinggi ke dalam Petak D LLRC FT.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/03/PAGE21_1203023224600.jpg


Md Abu Bakar (2 dari kiri) meraikan golnya bersama-sama rakan sepasukan termasuk penjaring kedua QAF FC Md Adie Arsham (kiri).

LLRC FT sudah bersiap sedia untuk menamatkan babak pertama dengan pendahuluan satu gol, namun dalam satu serangan balas dari sayap kanan, hantaran lintang tinggi Petrus melepasi kepala pertahanan LLRC FT tetapi tidak kepala Md Adie Arsham Md Salleh yang menanduk bola ke bawah yang kemudiannya mengantul tinggi melepasi jangkauan penjaga gawang LLRC FT dan menggegar gawang untuk menjadikan kedudukan berubah 2-2 pada masa kecederaan, minit ke-45+1.

Dengan babak pertama menyaksikan empat gol dijaringkan, dua gol bagi setiap pasukan, sebaliknya separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua buah pasukan lebih berhati-hati di bahagian pertahanan dan kesudahannya kedua-dua pasukan berjaya mengekang lawan menambah jaringan untuk mengekalkan jaringan 2-2 dan terpaksa berpuas hati berkongsi mata.

Keputusan seri itu sekadar melonjakkan LLRC FT satu anak tangga dari tangga kelima ke tangga keempat, berganti tempat dengan Majlis Sukan (MS) ABDB, di belakang Indera SC yang juga mengumpul 7 mata, namun Indera SC menghuni tangga ketiga kerana mempunyai kelebihan perbezaan jaringan iaitu +3 berbanding +2 bagi LLRC FT.

Manakala QAF FC dengan catatan seri ketiganya itu naik ke tangga ke-7 dari tangga ke-8, bertukar tempat dengan Wijaya FC, kedua-duanya mengumpul 3 mata, namun QAF FC mempunyai kelebihan jaringan iaitu 6 jaringan dan 10 bolos untuk mencatat -4 perbezaan jaringan, sedangkan Wijaya FC hanya mempunyai 5 jaringan dan 9 bolos yang juga mencatatkan -4 perbezaan jaringan.

No comments:

Post a Comment