Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mac – Sepuluh biji gol dicatatkan di Kompleks Sukan Berakas dalam saingan Liga Super DST-NFABD 2014 malam ini apabila MS ABDB membelasah Wijaya FC dengan jaringan 7-3.
MS ABDB mendahului 3-0 menerusi jaringan ketua pasukannya, Soldadu Md Safari Wahit seawal minit ke-2, Soldadu Budiman Jumat pada minit ke-16 dan Lans Koperal Samdani Judin pada minit ke-21.
Bagaimanapun Abdul Haim Md Musliano mencantas pendahuluan itu kepada dua gol saja apabila berjaya menjaringkan gol buat pasukannya, Wijaya FC pada minit ke-27.
Awangku Anaqi Sufi Pengiran Haji Omar Baqi memberikan pasukannya, Wijaya FC peluang kebangkitan apabila menghasilkan gol kedua pasukannya di babak kedua iaitu pada minit ke-54 untuk merubah kedudukan kepada 2-3.
Namun Lans Koperal Suhaimi Haji Md Yussof mengembalikan pendahuluan dua gol MS ABDB pada minit ke-58, dan dua gol pantas oleh Soldadu Md Muhaimin Rosmalee pada minit ke-69 dan jaringan sendiri Jamrin Johari pada minit ke-70 memberikan kelegaan kepada MS ABDB untuk mendahului 6-2.
Seminit kemudian kedudukan menjadi 3-6 apabila Masuri Hayat menghukum kealpaan pemain MS ABDB untuk menjaringkan gol, dan kedudukan itu kekal sehinggalah Lans Koperal (U) Md Amir Ajmal Mohamed sempat menjaringkan satu gol lagi buat MS ABDB pada masa-masa kecederaan.
Kemenangan itu melonjakkan MS ABDB ke tangga kedua, memintas LLRC FT, yang baru saja semalam menduduki kerusi naib juara Liga Super berkenaan, dan juga MS Polis Diraja Brunei (PDB), dengan ketiga-tiga pasukan berkongsi 6 mata, tetapi MS ABDB mempunyai kelebihan gol iaitu 13 jaringan, 7 bolos dan +6 perbezaan gol berbanding 5 jaringan, 3 bolos dan +2 untuk kedua-dua LLRC FT dan MS PDB.
No comments:
Post a Comment