BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Jerudong
FC menamatkan kempennya dalam Liga Super DST-NFABD musim ini dengan
keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan di tangga ketiga, Najip FC
malam tadi.
Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan
Negara Hassanal Bolkiah berkenaan, Jerudong FC yang lebih banyak
melakukan serangan-serangan bahaya, cuma saja penyudah yang tumpul
menggagalkan Jerudong FC dari mendapatkan gol.
Najip FC yang perlu menang untuk mendekatkannya hanya
dua mata di belakang pasukan di tempat kedua, MS ABDB (31 mata) dengan
jumlah permainan yang sama iaitu 14 permainan, jelas kurang menyerlah
malam tadi dan Jerudong FC yang jelas lebih layak untuk menang.
Di hujung permainan iaitu pada masa kecederaan, pemain
Jerudong FC, Reniel bin Ruani telah dibuang padang, namun kelebihan
seorang pemain hanya pada masa kecederaan jelas tidak memberikan
sebarang kelebihan kepada Najip FC untuk sempat mencatatkan jaringan,
maka perlawanan berkesudahan mengecewakan penonton dengan jaringan 0-0.
Keputusan seri itu hanya menaikkan mata Najip FC dari 26
mata kepada 27 mata, empat mata di belakang MS ABDB. Kedua-dua pasukan
masih mempunyai baki dua permainan termasuk pertembungan di antara
keduanya pada September nanti.
Maka Najip FC masih berpeluang untuk meraih gelaran naib
juara, dengan syarat ia mesti menewaskan MS ABDB September nanti di
samping mengalahkan Indera SC di perlawanan berikutnya, dan kemudiannya
mengharapkan Indera SC membantunya dengan menewaskan MS ABDB di
perlawanan penutup Liga Super September nanti.
No comments:
Post a Comment